KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengekalkan unjuran bagi perdagangan pengedaran tahun ini pada 6.1 peratus, walaupun risiko negatif akibat krisis tenaga yang berterusan mungkin mendorong semakan turun terhadap unjuran itu.
Mengenai prospek, Kenanga IB menjelaskan momentum jualan bagi tempoh terdekat dijangka kekal berdaya tahan susulan musim perayaan baru-baru ini.
“Langkah fiskal akan memberikan rangsangan tambahan kepada penggunaan domestik, manakala kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka mengukuhkan pertumbuhan jualan.
“Walaupun gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran memberi sedikit kelegaan dalam tempoh terdekat namun ketegangan geopolitik yang kembali memuncak serta ketidaktentuan harga tenaga kekal menjadi risiko utama bagi penurunan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Kenanga IB berpandangan unjuran awal bagi suku pertama 2026 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dijangka menunjukkan daya tahan walaupun terdapat sedikit penyederhanaan.
“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 4.5 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, kekukuhan berterusan yang direkodkan sektor elektrik dan elektronik serta pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan,” tambahnya.
Menurut Kenanga IB status Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih, rangka kerja subsidi bersasar dan kredibiliti fiskal menjadi penampan yang bermanfaat terhadap ketidaktentuan harga minyak.
Risiko penurunan dijangka meningkat bermula suku kedua 2026 berikutan ketegangan geopolitik, gangguan bekalan serta kesan limpahan perdagangan.
“Bagaimanapun, risiko positif masih wujud sekiranya kitaran peningkatan sektor teknologi global dan pelaburan pusat data dipercepat,” jelasnya.
-- BERNAMA
