AM

AKSES KESIHATAN WARGA ATM TIDAK TERJEJAS SEPANJANG PEMBINAAN HOSPITAL KEM TERENDAK

10/04/2026 09:01 PM

ALOR GAJAH, 10 April (Bernama) -- Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran terus mendapat akses kesihatan yang diperlukan walaupun 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak kini dalam proses pembinaan semula, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata keadaan itu berikutan adanya langkah penyelarasan termasuk kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilakukan sejak projek itu dimulakan pada 2024.

"Setakat ini, tiada isu timbul dan perkhidmatan berjalan seperti biasa malah kerjasama antara hospital ATM dan KKM juga berada pada tahap yang amat baik.

 "Perancangan dari awal antara kedua pihak juga membolehkan peralihan perkhidmatan dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan rawatan kepada pesakit termasuk di kawasan sekitar seperti Masjid Tanah," katanya kepada Bernama selepas Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di Machap Jaya di sini hari ini. 

Katanya sebahagian perkhidmatan penting masih diteruskan di Kem Terendak seperti rawatan trauma, manakala kemudahan kesihatan lain disokong melalui jaringan hospital awam khususnya Hospital Alor Gajah. 

Adly berkata Hospital Alor Gajah yang berfungsi sebagai hospital pakar turut diperkasakan bagi menampung peningkatan keperluan pesakit sepanjang tempoh pembinaan hospital baharu itu yang dijangka siap pada 2029.

Sementara itu, beliau berkata PVM merupakan antara inisiatif utama Kementerian Pertahanan yang digerakkan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi memastikan kesejahteraan veteran ATM dan keluarga, selain menjadi platform interaksi secara langsung antara kerajaan dan golongan berkenaan.

"Hari ini sebanyak 15 veteran ATM disantuni antaranya golongan asnaf, balu serta ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) di samping menyampaikan pelbagai bentuk bantuan termasuk peralatan pesakit, bantuan baik pulih rumah serta sumbangan 500 Bakul Rahmah untuk diagihkan kepada persatuan veteran ATM di Melaka,” katanya.

Adly berkata setakat 31 Mac, Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM telah menyalurkan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada 33,466 veteran ATM serta balu melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM47.7 juta.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan