AM

PERAK MAN KEMBALI DIPAMER DI GALERI ARKEOLOGI LEMBAH LENGGONG - SHAMSUL ANUAR

10/04/2026 09:16 PM

LENGGONG, 10 April (Bernama) -- Rangka manusia Perak Man yang sebelum ini disimpan oleh Jabatan Warisan Negara, Kuala Lumpur telah dipamerkan semula kepada umum di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, di sini sejak Julai tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penempatan semula rangka berusia kira-kira 11,000 tahun itu menjadi antara tarikan utama sekali gus membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke galeri berkenaan.

“Sebelum ini, rangka Perak Man ini telah disimpan oleh Jabatan Warisan Negara bagi memberi laluan kerja-kerja naik taraf dilakukan di galeri ini. Kita dimaklumkan rangka Perak Man ini telah dibawa balik ke sini (galeri arkeologi) pada 26 Jun tahun lepas.

“Sepanjang tempoh berada di sana, rangka tersebut menjalani proses konservasi rapi bagi memastikan ia terus terpelihara, khususnya dari sudut keutuhan fizikal serta kawalan persekitaran seperti suhu dan kelembapan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia, di sini hari ini.

Terdahulu pembukaan semula galeri berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad selain dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Lenggong Geopark berkata pihaknya dalam usaha membawa pulang rangka Perak Woman yang berusia sekitar 8,000 tahun dan kini berada dalam simpanan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya rangka yang ditemukan pada 2004 di Gua Teluk Kelawar, Lenggong itu membuktikan kewujudan penting tamadun prasejarah di Lembah Lenggong.

Sementara itu, Saarani berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf galeri yang merangkumi teknologı hologram, paparan interaktif serta visual moden yang bertujuan menarik kedatangan pengunjung.

Beliau berkata pendekatan baharu melalui teknologi semasa itu selaras dengan perubahan zaman yang menuntut kaedah penyampaian maklumat sejarah dengan lebih dinamik, berkesan serta mudah difahami oleh pengunjung pelbagai peringkat umur.

“Peningkatan pengunjung kepada lebih 51,000 orang pada tahun lepas menunjukkan usaha yang dilaksanakan berada pada landasan tepat dan berpotensi untuk terus berkembang,” katanya.

Menyentuh mengenai duit syiling peringatan, katanya Warisan Arkeologi Lembah Lenggong antara enam Tapak Warisan Dunia di Malaysia yang dipilih untuk ditampilkan dalam edisi khas berkenaan.

Selain nilai koleksi, Saarani berkata syiling peringatan tersebut juga berfungsi sebagai medium pendidikan yang membawa mesej sejarah, identiti dan kebanggaan negara kepada generasi kini dan akan datang.

“Selain Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, duit syiling peringatan edisi khas ini turut menampilkan keunikan di lima Tapak Warisan Dunia di Malaysia iaitu Taman Negara Mulu dan Gua Niah (Sarawak), Taman Kinabalu (Sabah), George Town (Pulau Pinang), Melaka serta Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS).

“Pendekatan ini menunjukkan bahawa warisan negara boleh diketengahkan dalam bentuk yang lebih kreatif dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan