PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Puncak Gali Harmoni Sdn Bhd (PGH) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman dan injunksi sebelah pihak bagi menghalang Emrail Sdn Bhd menamatkan surat anugerah subkontrak berkaitan kerja baik pulih landasan kereta api antara Stesen Gua Musang dan Tumpat di Kelantan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi pendengaran saman pemula dan permohonan injunksi didengar secara inter parte di hadapan hakim atau pesuruhjaya kehakiman lain.
Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Shahrir Mohamed Salleh, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan PGH dengan kos RM30,000 tertakluk kepada alokatur.
Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata panel itu berpandangan bahawa demi kepentingan keadilan, adalah lebih wajar pesuruhjaya kehakiman sebelum ini tidak lagi mendengar kes itu kerana beliau telah membuat dapatan terhadap fakta dan isu dalam saman tersebut.
“Kami selanjutnya mengarahkan agar permohonan perayu bagi injunksi inter parte ditetapkan untuk pendengaran dalam tempoh dua minggu dari hari ini dan diselesaikan segera kerana ini adalah projek nasional untuk manfaat orang awam,” katanya.
Keputusan itu disampaikan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan peguam Steven Thiru yang mewakili PGH mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.
Mohamed Zaini juga berkata Mahkamah Tinggi telah mengetepikan injunksi ex parte meskipun PGH tidak memfailkan permohonan berhubung perkara itu, dan menambah bahawa ketiadaan permohonan sedemikian menjadikan tindakan Mahkamah Tinggi sebagai tidak teratur.
“Pesuruhjaya Kehakiman berkenaan telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila mengetepikan perintah injunksi ex parte dan mengarahkan supaya ganti rugi ditaksir meskipun tanpa permohonan oleh responden untuk mengetepikannya,” kata hakim itu.
Beliau juga berkata keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun untuk menolak saman itu tanpa perbicaraan penuh ialah satu percanggahan nyata terhadap prinsip keadilan asasi.
Mohamed Zaini berkata tuntutan perayu timbul daripada pertikaian antara syarikat sebagai subkontraktor dan responden (Emrail) sebagai kontraktor utama berhubung projek kerja baik pulih landasan kereta api yang dianugerahkan oleh kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT).
Beliau berkata PGH dilantik sebagai subkontraktor melalui Surat Anugerah bertarikh 29 Mei 2025 dengan kontrak bernilai RM145.3 juta dan satu Surat Aku Janji bertarikh 29 Ogos 2025 kemudian dikeluarkan oleh Emrail.
Mohamed Zaini berkata responden telah berhujah bahawa Surat Anugerah itu adalah bersyarat antaranya tertakluk kepada pemberian kontrak utama oleh MOT dan pelaksanaan satu perjanjian rasmi. Bagaimanapun, perayu menegaskan bahawa kontrak itu telah menjadi tidak bersyarat.
Beliau berkata PGH kemudian memulakan saman terhadap Emrail di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui saman pemula pada 10 Sept 2025 yang memohon antaranya injunksi bagi menghalang responden daripada menamatkan Surat Anugerah sementara menunggu proses pengantaraan dan timbang tara.
Pada 19 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan PGH untuk memperoleh injunksi ex parte.
Bagaimanapun, susulan pendengaran inter parte pada 2 Okt tahun sama, mahkamah telah mengetepikan injunksi ex parte itu dan membatalkan saman pemula.
Pada prosiding hari ini, PGH turut diwakili peguam Alvin Oh, Chong Jen Hui, Priscilla Lim dan Sew Chang Peng manakala peguam Ooi Suan Kim serta Terrence Boo Honn Chin bertindak bagi pihak responden.
-- BERNAMA
