SHAH ALAM, 10 April (Bernama) -- Cadangan untuk mengaktifkan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi bahan binaan akan dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat susulan krisis tenaga global, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata cadangan itu diperoleh hasil perbincangan bersama dengan persatuan kontraktor minggu lepas yang memaklumkan kenaikan kos bahan binaan sekitar 20 hingga 30 peratus namun perkara tersebut masih perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apa yang kami harapkan ialah kajian dibuat melalui data-data daripada Jabatan Perangkaan supaya data-data itu dapat mengetahui dengan tepat berapakah kenaikan yang berlaku terhadap bahan binaan.
“Saya ingin memaklumkan bahawa kuasa untuk meluluskan itu ialah Kementerian Kewangan dengan rujukan kepada Kementerian Ekonomi... kami (hanya) menyampaikan hasrat persatuan kontraktor yang memohon VOP (untuk diaktifkan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam hari ini.
Ahmad Maslan juga berkata dalam mendepani impak krisis terbabit, kerajaan tidak membenarkan sebarang stop work atau henti kerja dilaksanakan oleh pemain industri.
“Dalam mesyuarat sama, mereka turut memohon supaya diberikan lanjutan masa terhadap projek-projek tertentu kerana gangguan kenaikan harga... saya juga ingin memaklumkan bahawa tidak ada stop work diberikan... stop work ini melanggar syarat kontrak, oleh itu tidak ada stop work akan berlaku.
“Walaupun demikian, ada permohonan daripada mereka untuk slow down a little bit sehinggalah kadar harga diesel misalnya, lebih stabil... kemungkinan boleh dilakukan slow down sedikit namun stop work tidak dibenarkan,” katanya.
Semalam, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz meminta kerajaan melaksanakan langkah segera termasuk mengaktifkan semula VOP bagi bahan binaan dalam usaha membantu golongan kontraktor yang kini berdepan beban kenaikan kos susulan krisis tenaga global.
Beliau berkata langkah itu, yang pernah dilaksanakan ketika krisis sebelum ini termasuk pandemik COVID-19, terbukti membantu kontraktor menangani peningkatan kos.
-- BERNAMA
