DUNIA

SONGKRAN 2026 DI MALAYSIA TEKANKAN SAMBUTAN BERHEMAH, PERKUKUH HUBUNGAN THAILAND-MALAYSIA

11/04/2026 12:25 AM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

PETALING JAYA, 10 April (Bernama) -- Pesta Songkran Perdana Malaysia 2026 menawarkan platform untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dan budaya yang lama terjalin antara Malaysia dan Thailand, ketika kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027.

Duta Thailand ke Malaysia Lada Phumas berkata festival selama 11 hari itu, yang berlangsung dari 9 hingga 19 April, turut menjadi wadah mempamerkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif Thailand, mencerminkan usaha lebih luas negara itu untuk meletakkannya  sebagai pemain strategik utama di peringkat global.

“Sambil kami membawakan semangat Songkran dan tawaran asli Thailand ke Malaysia, saya juga ingin menjemput rakan-rakan dari Malaysia dan antarabangsa untuk merasai sendiri tradisi Songkran di Thailand.

Marilah kita gunakan festival ini untuk memperkukuh ikatan sesama rakyat dan budaya yang telah menyatukan kita selama berdekad-dekad, sedang kita melangkah bersama menuju ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Thailand-Malaysia tahun depan,” katanya pada majlis pelancaran rasmi festival itu pada Jumaat.

Turut hadir ialah Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo, duta-duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia, serta ahli “ASEAN Ladies’ Circle”.

Songkran, festival Tahun Baharu tradisional Thailand, disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April bagi menandakan permulaan tahun baharu mengikut kalendar Thai.

“Songkran di Thailand” telah dimasukkan ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2023.

Lada berkata festival tahun ini memberi penekanan kepada pengalaman Songkran dengan cara yang lebih bermakna dan mampan.

“Kami menyasarkan untuk mengimbangi elemen ‘sanuk’ (keseronokan dalam bahasa Thai) dengan kemampanan dan tanggungjawab. Daripada pesta percikan air kepada tradisi seperti menyiram air kepada warga emas dan tarian tradisional Songkran, pelbagai persembahan muzik serta kebudayaan Thai menanti pengunjung.

“Memandangkan Songkran melambangkan pembaharuan dan perpaduan keluarga, kami berharap sambutan ini - terutamanya di tengah-tengah cabaran global semasa - akan mengamalkan amalan berhemah, daripada penggunaan air yang bertanggungjawab kepada pemuliharaan tenaga, bagi memastikan tradisi kita terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata Kedutaan Diraja Thailand telah aktif mempertingkatkan kerjasama dua hala melalui program kebudayaan, forum ekonomi dan dialog strategik, selain memajukan inisiatif bagi menyokong perdagangan, pelancongan dan kesalinghubungan antara rakyat.

Pesta Songkran Perdana Malaysia 2026 di Pusat Beli-belah 1 Utama merupakan antara acara kebudayaan utama yang menarik puluhan ribu pengunjung setiap tahun sejak penubuhannya, kini memasuki tahun keempat berturut-turut.

Tahun ini, penganjur mengunjurkan kehadiran lebih 80,000 pengunjung, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai tarikan serantau yang utama.

Festival itu turut menawarkan pasar jalanan Thai yang menampilkan 50 gerai terpilih, termasuk lebih 40 vendor makanan asli Thailand, selain pencuci mulut, minuman, produk fesyen dan gaya hidup, serta tarikan karnival.

Pengunjung boleh menikmati hidangan popular Thailand seperti Pad Thai, tom yum, som tam, pulut mangga dan teh ais Thailand, menawarkan pengalaman makanan jalanan yang menggamit suasana pasar malam di Bangkok.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan