AM

PEMBAIKAN JAMBATAN SUNGAI PULAI PASTIKAN STABIL, SELAMAT UNTUK JANGKA PANJANG - ONN HAFIZ

11/04/2026 03:53 PM

JOHOR BAHRU, 11 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pemaju untuk melaksanakan kaedah pembaikan yang lebih kukuh, bagi memastikan Jambatan Sungai Pulai benar-benar selamat dan stabil untuk jangka masa panjang.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu diambil, susulan hasil audit teknikal JKR yang mendapati berlaku mendapan serius melebihi 300 milimeter dalam tempoh kurang enam bulan selepas jambatan berkenaan dibuka pada 18 Jan 2023.

Beliau berkata menurut laporan teknikal, masalah berkenaan dipercayai berpunca daripada ketidakstabilan struktur tanah serta penggunaan kaedah pembinaan sistem ringan Expanded Polystyrene System (EPS) yang didapati kurang sesuai dengan keadaan sebenar tapak projek.

“Insya-Allah, kerja pembaikan dijangka akan bermula Jun tahun ini, dengan sasaran siap sepenuhnya pada 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berharap agar pembaikan dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Onn Hafiz berkata hal ini kerana jambatan itu merupakan laluan penting menghubungkan Kukup di Pontian dan lokasi lain, serta berperanan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat di Pontian dan Johor Bahru.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan serta mematuhi semua arahan keselamatan yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan