AM

MAFFI SELARAS PROGRAM PEMERKASAAN PERTANIAN DAN MAKANAN NEGARA DI SABAH - CHAN

11/04/2026 04:19 PM

KOTA KINABALU, 11 April (Bernama) --  Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersetuju agar Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menjadi unit penyelaras bagi Program Pemerkasaan Pertanian dan Makanan Negara (PPAN), yang dibiayai kerajaan Persekutuan bagi projek-projek yang melibatkan sektor pertanian di Sabah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata pendekatan itu penting, bagi memastikan pelaksanaan projek dapat diselaras dengan lebih baik, mengelakkan pertindihan serta mempercepat penyampaian manfaat kepada golongan sasar.

“Saya percaya kerjasama erat seperti ini amat penting, dalam memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat diterjemahkan secara berkesan pada peringkat negeri, mengambil kira keperluan tempatan serta potensi besar Sabah dalam sektor pertanian dan agromakanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chan berkata beliau telah mengetuai delegasi KPKM bersama jabatan dan agensi berkaitan yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri MAFFI Datuk Jamawi Jaafar, semalam.

Beliau berkata dalam kunjungan selama dua jam itu, mereka telah menumpukan kepada beberapa isu utama berkaitan pembangunan sektor pertanian di Sabah, khususnya dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan serta menjamin kelangsungan komuniti warga tani.

Chan berkata antaranya termasuklah cadangan pembinaan jeti perikanan di Sepanggar, penanaman jagung bijirin untuk ternakan di Trusan Sapi, pembinaan kilang padi di Kota Belud, pembangunan ternakan khinzir di Tongod, naik taraf jalan pertanian serta pengukuhan aspek kawal selia biosekuriti dan profil tanah.

“Saya merakamkan penghargaan atas sambutan dan perbincangan yang amat konstruktif sepanjang kunjungan ini. Semoga jalinan kerjasama strategik antara KPKM dan kerajaan negeri Sabah akan terus diperkukuh demi manfaat petani, penternak, nelayan dan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan