NIBONG TEBAL, 11 April (Bernama) -- Projek pembangunan Rumah MutiaraKu (RMKu) kepada 23 keluarga di Ladang Sungai Kechil di sini yang berhadapan tindakan pengusiran ekoran kemelut tanah sejak lebih 10 tahun lepas, dijangka bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata RM7 juta diperuntukkan bagi membina 23 unit gantian jenis RMKu C1, iaitu teres setingkat 750 kaki persegi yang akan diserahkan percuma kepada penduduk asal, sekali gus memberi manfaat langsung kepada semua pemilik terlibat.
Beliau berkata unit gantian itu merupakan sebahagian daripada 85 unit RMKu C1 yang akan dibangunkan oleh Tetuan Sierra Residences (M) Sdn Bhd di Lot 10059, Mukim 8, daerah Seberang Perai Selatan dengan keluasan tapak 24, 928.66 meter persegi membabitkan kos RM24 juta.
“Pelan projek akan dikemukakan dalam tempoh sebulan sebelum melalui proses kelulusan yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan dan selepas itu kerja pembinaan akan dimulakan dengan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
“Fasa 1 memberi keutamaan kepada pembangunan unit gantian bagi memastikan kebajikan penduduk sedia ada terus terpelihara manakala fasa 2 hanya dilaksanakan selepas mereka berpindah, melibatkan kerja merobohkan struktur lama dan pembangunan semula yang dijangka antara 18 hingga 20 bulan,” katanya.
Sundarajoo berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelesaian bersama-sama penduduk Ladang Kechil bagi cadangan pembangunan RMKu Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Beliau berkata cadangan pembangunan itu juga dijangka memberi impak sosioekonomi positif kepada penduduk setempat melalui peningkatan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti perniagaan tempatan dan memperkukuh jaringan kemudahan awam.
“Projek ini bukan sahaja menyediakan kediaman yang selesa dan mampu dimiliki, malah akan menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih berdaya huni, harmoni dan sejahtera,” katanya yang memaklumkan keseluruhan tanah milik kerajaan negeri.
Sementara itu, Chow berkata penyediaan unit gantian tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kebajikan dan hak penduduk asal, selain penempatan semula dilaksanakan secara teratur serta selesa supaya penduduk dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Beliau berkata pembangunan itu turut merangkumi pembinaan semula Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebagai usaha memelihara keharmonian masyarakat setempat dan dalam masa sama, kemudahan awam serta infrastruktur asas disediakan secara terancang bagi memastikan persekitaran yang selesa dan kondusif.
Dalam pada itu, S. Ambigahbati, 57, berkata dirinya dan keluarga bersyukur serta gembira kerana perjuangan penduduk di situ untuk mendapatkan rumah sendiri berjaya selepas dibantu kerajaan negeri.
“Saya generasi ketiga di sini dan lahir di rumah Ladang Sungai Kechil yang didiami ibu bapa. Akhirnya dengan bantuan kerajaan negeri kami dapat memiliki rumah sendiri di sini, tempat tinggal legasi kami sendiri. Terima kasih kerajaan negeri,” katanya.
-- BERNAMA
