AM

OPA DI MELAKA BERJAYA HASILKAN HUJAN DI BEBERAPA LOKASI SASARAN - SUK

11/04/2026 10:49 PM

MELAKA, 11 April (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di kawasan Empangan Jus, Jasin, Melaka pada Khamis lepas berjaya menghasilkan hujan di beberapa lokasi sasaran di negeri  itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad berkata operasi berkenaan dijalankan pada 1.30 tengah hari menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas keadaan awan dikenal pasti sesuai.

Beliau berkata data taburan hujan menunjukkan Batu Berendam, Melaka Tengah merekodkan 28.2 milimeter (mm) hujan manakala Ladang Devon, Alor Gajah mencatatkan 14.5 mm.

"Walaupun taburan hujan tidak sekata, operasi ini telah mencapai objektif awal dengan kejayaan menghasilkan hujan di kawasan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemantauan terhadap Empangan Jus mendapati paras air berada pada tahap waspada namun masih stabil dan sebarang perubahan dijangka mengambil sedikit masa untuk direkodkan secara menyeluruh.

“Perkembangan semasa menunjukkan petunjuk yang positif,” katanya.

Azhar berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dan akan terus dipergiatkan bagi memastikan bekalan air negeri ini kekal mencukupi, stabil dan terkawal demi kesejahteraan rakyat.

Katanya langkah pemantauan rapi akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain sebarang operasi pembenihan awan susulan akan digerakkan segera sekiranya keadaan memerlukan.

Dalam masa yang sama,  beliau menyeru seluruh rakyat Melaka supaya menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran sebagai tanggungjawab bersama dalam memastikan kelangsungan sumber air negeri.

"Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta semua agensi terlibat atas kerjasama dan komitmen tinggi dalam menjayakan operasi ini,”katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri kekal komited, fokus dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan