AM

PREMIS JKM TANAH MERAH DIPECAH MASUK, DUA KENDERAAN DILARIKAN

12/04/2026 03:56 PM

KOTA BHARU, 12 April (Bernama) --  Dua kenderaan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelewek, Tanah Merah, dilarikan oleh sekumpulan empat hingga lima suspek yang memecah masuk kawasan premis pejabat agensi itu awal pagi tadi.

Pengarah JKM Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata menerusi kamera litar tertutup di premis berkenaan, kejadian berlaku kira-kira 4.30 pagi apabila seorang petugas keselamatan telah didatangi kumpulan suspek sebelum tangannya diikat.

Beliau berkata dua kenderaan yang dilarikan ialah sebuah Mitsubishi Triton berwarna kelabu hitam dan sebuah Toyota Fortuner berwarna hitam.

"Suspek juga dipercayai cuba melarikan sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Navara milik jabatan, namun cubaan itu gagal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal diperolehi kedua-dua kenderaan tersebut dipercayai telah dibawa ke Thailand.

"Kes ini kita telah laporkan kepada pihak polis dan ia masih lagi dalam siasatan mereka," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan