SEOUL, 12 April (Bernama-Yonhap) -- Kebakaran di sebuah gudang penyimpanan sejuk beku di barat daya Korea Selatan pada Ahad mengorbankan nyawa dua anggota bomba ketika operasi menyelamat dijalankan, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa.
Kebakaran bermula kira-kira 8.25 pagi di gudang milik sebuah syarikat pemprosesan perikanan di daerah Wando, wilayah Jeolla Selatan, menyebabkan pihak berkuasa mengerahkan lebih 100 anggota bomba.
Balai Bomba Wando dalam satu kenyataan memaklumkan api berjaya dipadamkan selepas kira-kira tiga jam.
Menurut bomba, kebakaran dipercayai bermula ketika pekerja menggunakan alat pemanas api untuk menanggalkan cat pada bangunan itu sebagai sebahagian daripada kerja meratakan lantai dan menurap semula.
Seorang pegawai syarikat perikanan terhidu asap dan dibawa ke hospital berhampiran, namun keadaannya tidak mengancam nyawa.
Ketua Balai Bomba Wando Lee Min-seok berkata dua anggota bomba itu gagal menyelamatkan diri selepas memasuki semula lokasi kejadian untuk memadam sisa kebakaran selepas operasi awal dijalankan.
“Ketua operasi mengarahkan tujuh anggota bomba keluar selepas mengesan asap hitam dan api menerusi komunikasi radio, namun dua daripada mereka gagal keluar,” kata Lee.
Pihak bomba berkata mereka akan menyiasat punca sebenar kebakaran itu.
Penyiasat mengesyaki lantai epoksi yang sangat mudah terbakar mungkin menyumbang kepada api merebak dengan cepat, ditambah dengan kehadiran panel sandwic pada sebahagian struktur bangunan, dipercayai menjejaskan usaha memadam kebakaran.
Presiden Lee Jae Myung telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengarahkan pihak bomba menggerakkan semua aset untuk memadam kebakaran serta menjalankan operasi menyelamat, kata jurucakap presiden Kang Yu-jung dalam kenyataan bertulis.
Dalam hantaran di platform media sosial X, Lee merakamkan ucapan takziah kepada dua anggota bomba yang terkorban, masing-masing berusia 44 dan 30 tahun, serta keluarga mereka.
“Mereka bergegas ke lokasi paling berbahaya demi melindungi nyawa dan keselamatan rakyat serta menunaikan tanggungjawab hingga ke akhir.
“Saya memberi penghormatan terhadap keberanian dan dedikasi mereka,” katanya.
Lee berkata kerajaan memandang serius insiden itu dan akan berusaha memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk anggota bomba melaksanakan tugas mereka.
-- BERNAMA
