DUNIA

MENTERI UAE BERI AMARAN RISIKO BEKALAN GLOBAL SUSULAN GANGGUAN DI SELAT HORMUZ SEMAKIN MERUNCING

13/04/2026 06:39 AM

DUBAI, 12 April (Bernama-Xinhua) -- Seorang menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad memberi amaran mengenai peningkatan risiko terhadap rantaian bekalan global susulan gangguan yang semakin meruncing di Selat Hormuz, antara koridor tenaga paling kritikal di dunia, lapor Xinhua.

Sultan Ahmed Al Jaber, Menteri Perindustrian dan Teknologi Termaju UAE merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC), berkata di platform media sosial X bahawa sekurang-kurangnya 22 kapal telah menjadi sasaran sejak 28 Feb lepas, dengan 10 kru terkorban manakala kira-kira 20,000 pelaut terkandas.

Al Jaber berkata kira-kira 800 kapal komersial, termasuk hampir 400 kapal tangki minyak, kini tidak dapat melalui selat itu dengan selamat, yang mengendalikan lebih 20 peratus tenaga yang didagangkan di peringkat global.

Beliau memberi amaran bahawa sekatan terhadap pelayaran telah menjejaskan secara berkesan saluran ekonomi global yang penting, sekali gus menimbulkan risiko bukan sahaja kepada pasaran tenaga tetapi juga kepada rantaian bekalan makanan serta kestabilan ekonomi yang lebih luas.

“Selat Hormuz tidak pernah menjadi hak milik Iran untuk ditutup atau menyekat pelayaran,” kata Al Jaber. “Ini bukan sekadar isu serantau, tetapi ancaman langsung terhadap keselamatan tenaga, makanan dan kesihatan semua negara.”

Beliau turut menyatakan terdapat jurang yang semakin melebar antara jangkaan pasaran dan bekalan fizikal, ketika penghantaran yang dihantar sebelum peningkatan ketegangan terus tiba manakala kargo baharu berdepan kelewatan.

Menurut penganalisis, gangguan berpanjangan di selat itu boleh melonjakkan harga dan menambah ketidaktentuan pasaran, dengan Asia khususnya lebih terdedah berikutan kebergantungan tinggi terhadap penghantaran tenaga dari Teluk.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan