Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin didorong oleh sentimen berhati-hati berikutan pelabur bimbang mengenai ketidaktentuan berkaitan gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 8.27 mata atau 0.49 peratus kepada 1,683.04 daripada 1,691.31 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 8.88 mata kepada 1,682.43.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 360 kaunter rugi mengatasi 143 kaunter untung manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,908 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 322.82 juta saham bernilai RM166.15 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Stret ditutup bercampur-campur berikutan rundingan gencatan senjata di Asia Barat kekal tidak menentu tanpa penyelesaian segera yang jelas.
Selain itu, katanya keyakinan pengguna menurun kepada paras terendah pada April berikutan kebimbangan meningkat mengenai kenaikan harga tenaga dalam peperangan yang berterusan.
“Dalam negara, dagangan secara keseluruhannya kurang menggalakkan berikutan pelabur memilih untuk tidak memasuki pasaran buat masa ini.
“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI diniagakan antara 1,685 dan 1,695 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing merosot enam sen kepada RM11.10 dan RM4.59, CIMB berkurangan empat sen kepada RM7.48, IHH Healthcare menurun 11 sen kepada RM8.70 manakala Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM14.10.
Dalam senarai paling aktif, MMAG, Top Glove dan One Gasmaster, masing-masing meningkat setengah sen kepada empat sen, 81 sen dan 14.5 sen manakala Sunway Healthcare menurun satu sen kepada RM1.89 manakala Handal Energy kekal tidak berubah pada 3.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, United Plantations meningkat 56 sen kepada RM33.56, Petronas Chemicals naik 24 sen kepada RM6.06, Petronas Dagangan menambah 16 sen kepada RM20.96, SD Guthrie dan Petronas Malaysia Refining & Marketing, masing-masing menokok 11 sen kepada RM6.10 dan RM4.28.
Kaunter paling rugi termasuklah Nestle, menurun 72 sen kepada RM97.38, Malaysian Pacific Industries berkurangan 40 sen kepada RM29.40, Hong Leong Bank merosot 24 sen kepada RM21.84, Sunway Construction menyusut 21 sen kepada RM6.64 dan PPB menurun 18 sen kepada RM11.78.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 berkurangan 63.06 mata kepada 12,196.60, Indeks FBM Emas menurun 64.41 mata kepada 12,348.25, Indeks FBM Mid 70 merosot 102.47 mata kepada 17,218.50, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 45.30 mata kepada 12,244.03 dan Indeks FBM ACE menyusut 33.76 mata kepada 4,396.22.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 141.97 mata kepada 19,642.69, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.35 mata kepada 186.26, Indeks Tenaga menambah 4.94 mata kepada 818.19 dan Indeks Perladangan menokok 73.17 mata kepada 9,040.42.
-- BERNAMA
