AM

SETIA SPICE, USM, AL-ANSAR BEKERJASAMA TUKAR SISA MAKANAN KEPADA SUMBER BERGUNA

13/04/2026 03:46 PM

GEORGE TOWN, 13 April (Bernama) -- Setia SPICE Convention Centre & Arena (Setia SPICE) memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Al-Ansar Integrated Sdn Bhd untuk mengubah sisa makanan daripada acara kepada sumber berguna melalui pendekatan ekonomi sirkular.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi Black Soldier Fly Larvae (BSFL) untuk memproses sisa makanan, di samping menyokong industri pertanian dan meningkatkan keterjaminan makanan.

Pengurus Besar Bahagian SP Setia Bhd, Chan Ching Hiong berkata Setia SPICE menjana lebih daripada 8.4 tan metrik sisa makanan daripada 57 acara jamuan pada 2025, yang mana di tapak pelupusan sampah di seluruh dunia, sisa makanan menyumbang lapan hingga 10 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global.

"Realiti ini mendorong kami untuk mencari penyelesaian praktikal yang menyaksikan kami bekerjasama dengan USM yang akan menjadi rakan saintifik dan penyelidikan untuk BSFL dan setakat ini, Setia SPICE telah menyelesaikan dua penghantaran rintis menggunakan teknologi BSFL, menyumbang lebih 319.5 kilogram sisa makanan," katanya pada Majlis Pelancaran Kolaborasi Kelestarian itu, di sini, hari ini.

Chan berkata di bawah inisiatif itu, sisa makanan akan diasingkan dan diproses sebagai makanan larva sebelum ditukar menjadi makanan haiwan, terutamanya untuk ayam, sekali gus mewujudkan kitaran lengkap daripada sisa kepada sumber makanan.

Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa BSFL kaya dengan protein dan lemak bermanfaat serta mampu mengurangkan patogen berbahaya seperti E. coli dan Salmonella, di samping menyokong kesihatan usus ternakan, manakala sisa hasil sampingan yang dikenali sebagai "frass" boleh digunakan sebagai baja organik yang kaya dengan nutrien.

“Kerjasama itu dijangka menghasilkan data penyelidikan yang berharga untuk USM, di samping menyokong Al-Ansar Integrated dalam meningkatkan pengeluaran makanan ternakan yang mampan untuk industri pertanian.

“Pada masa yang sama ia juga mewujudkan peluang ekonomi baharu dalam sektor pertanian dan pengurusan sisa, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem yang lebih mampan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) USM, Prof Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata USM berperanan sebagai rakan penyelidikan utama dengan menjalankan kajian berkaitan komposisi sisa, kecekapan proses biokonversi serta penilaian impak terhadap alam sekitar bagi menyokong pembangunan ilmu dalam bidang sains biologi, malah memperkukuh aplikasi penyelesaian lestari dalam pengurusan sisa makanan.

Pengurus Operasi Al-Ansar Integrated, Muhammad Muaz Ansaruddin pula berkata syarikat itu menyumbang fasiliti serta tapak bagi pelaksanaan projek ternakan lalat Black Soldier Fly di ladang yang terletak di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

Beliau berkata USM memainkan peranan dari aspek penyelidikan dan pembangunan dengan membantu industri mengoptimumkan penggunaan BSFL sebagai sumber protein alternatif dalam makanan ternakan ayam. 

“Setia SPICE menyumbang sisa organik yang dikumpulkan dan dihantar ke ladang untuk diproses menggunakan larva dihasilkan lalat berkenaan, sekali gus melengkapkan rantaian kitaran pengurusan sisa secara mampan daripada sumber kepada penghasilan makanan ternakan,” katanya.

Pada masa ini, katanya, syarikat menternak sekitar 5,000 ekor ayam yang menggunakan teknologi BSFL sebagai sebahagian daripada diet pemakanan, selain najis larva turut diproses untuk dijadikan baja organik untuk tanaman.

—BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan