AM

BANJIR: ANGGARAN RM2.6 BILION UNTUK PROJEK RTB DI KUCHING - FADILLAH

13/04/2026 04:45 PM

KOTA SAMARAHAN, 13 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menganggarkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion diperlukan bagi menyiapkan dua projek utama Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kuching, melibatkan RTB Bandaraya Kuching Fasa 2 dan RTB Sungai Samariang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perancangan tersebut kini sedang menunggu kelulusan Jemaah Menteri. 

“Asalnya cadangan ini hanya melibatkan RTB Kuching Fasa 2, namun atas permintaan kerajaan negeri, kita bersetuju secara prinsip untuk memasukkan sekali RTB Samariang bagi memastikan aliran air dirancang secara bersepadu.

“Sekiranya diluluskan kelak, kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.6 bilion bagi memastikan kawasan Samariang tidak terjejas dengan aliran air dari kawasan bandar raya, memandangkan ia adalah satu sistem saliran saling berkaitan,” katanya dalam sidang media sempena program PETRA Skuad 2026 Zon Sarawak di sini hari ini.

Fadillah berkata Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak sedia ada yang bernilai RM191 juta kini sedang dilaksanakan, melibatkan kerja-kerja di RTB Sungai Gersik, RTB Sungai Sinjan serta mendalamkan sungai di Matang yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2027.

“Projek PLSB ini merupakan usaha berterusan kita untuk menangani isu banjir di ibu negeri, yang turut merangkumi manfaat perlindungan kepada lebih 22,000 penduduk apabila siap sepenuhnya kelak,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mengenai status RTB Sibu Fasa 3 bernilai RM97.2 juta yang telah siap sepenuhnya pada Disember 2023 dan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Sarawak hari ini.

“Fasa 4 yang dianggarkan bernilai RM120 juta akan dipohon melalui peruntukan kerajaan negeri, manakala Fasa 5 dengan anggaran RM474 juta akan dipohon melalui peruntukan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Fadillah berkata kementeriannya juga telah menyerahkan projek RTB Stakan bernilai RM10 juta yang siap sepenuhnya pada Ogos 2024 bagi mengatasi masalah banjir kilat di sempadan Kuching-Samarahan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan