Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kesan ekonomi jangka masa pendek Malaysia diunjurkan kekal terkawal, walaupun rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menghadapi kebuntuan, kata ahli ekonomi.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata tinjauan itu disokong oleh penghantaran minyak yang telah melalui Selat Hormuz, sekali gus menyediakan anggaran penampan bekalan selama dua bulan.
“Pertumbuhan mungkin mengalami sedikit penyederhanaan, namun kesannya boleh dikurangkan sekiranya kerajaan mengekang inflasi tolakan kos secara berkesan daripada dipindahkan kepada pengguna, justeru mengekalkan penggunaan swasta sebagai pemacu utama pertumbuhan.
“Kami mengekalkan unjuran kami yang dikeluarkan pada Februari, mencerminkan keyakinan bahawa penampan sedia ada masih kukuh,” katanya kepada Bernama.
Rundingan AS-Iran dilaporkan gagal mencapai persetujuan pada Ahad selepas beberapa jam perbincangan di Islamabad, ibu negara Pakistan, seterusnya mendorong Presiden AS Donald Trump mengumumkan sekatan di Selat Hormuz.
Susulan itu, Markas Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan pihaknya akan melaksanakan sekatan terhadap semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran pada 13 April pukul 10 pagi ET (1400 GMT).
Walaupun sekatan tersebut dilaksanakan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lepas, berkata satu daripada tujuh kapal yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz telah selamat melalui perairan tersebut dan kini dalam perjalanan ke Malaysia.
Enam lagi kapal telah menerima kelulusan dan sedang menunggu giliran untuk melalui laluan penting perdagangan itu, kata beliau.
Sehubungan itu, Mohd Sedek berkata perkembangan tersebut dijangka membantu mengurangkan gangguan serta merta terhadap aktiviti ekonomi domestik, walaupun tekanan kos mungkin meningkat ekoran ketidaktentuan global yang berterusan.
Beliau berkata berbanding ekonomi Asia yang lain, Malaysia berada pada kedudukan yang lebih kukuh, namun tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan susulan geopolitik.
Sementara itu, Felow Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin yang turut senada dengan Mohd Sedek berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus bagi 2026 kekal tidak berubah walaupun menghadapi ketidaktentuan luaran.
Beliau berkata perdagangan dan pelaburan Malaysia, khususnya pelaburan langsung asing (FDI), tidak akan terjejas dengan ketara buat masa ini.
“Ini kerana struktur ekonomi, dengan destinasi perdagangan dan pelaburan tidak tertumpu di kawasan konflik.
“Selain itu, kejelasan dasar juga menjadi satu kelebihan. Kerangka Ekonomi MADANI, khususnya Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan diumumkan tidak lama lagi, akan terus mengukuhkan iklim pelaburan,” katanya.
Kemungkinan Tidak Berlaku Lonjakan Harga Minyak Mentah Lebih US$120 Setong
Mengenai kesan harga minyak mentah akibat sekatan AS di Selat Hormuz, Mohd Sedek berkata pasaran kini semakin dipengaruhi oleh perkembangan berita semasa memandangkan sebarang perkembangan baharu dijangka mencetuskan pergerakan harga yang cepat.
Beliau bagaimanapun berkata lonjakan ketara harga minyak mentah Brent sebagai penanda aras melebihi US$120 setong (US$1 = RM3.9695) dalam tempoh terdekat ini dijangka tidak berlaku.
Keadaan ini berikutan gencatan senjata yang masih tidak menentu, dengan isyarat peningkatan ketegangan yang masih terkawal dan bukannya gangguan sepenuhnya.
Beliau berkata objektif strategik di sebalik sekatan oleh Trump bukan untuk menutup sepenuhnya aliran tenaga global sebaliknya untuk menentang kawalan Iran ke atas tol transit serta memberi tekanan kepada Tehran dari segi ekonomi, dan pada masa sama membenarkan laluan perkapalan yang lebih luas untuk meneruskan operasi.
“Pada pendapat saya, situasi ini tidak semestinya menandakan perang besar akan berlaku semula, sebaliknya sebagai peralihan kepada status quo baharu yang tidak dirundingkan.
“Iran masih mengekalkan pengaruhnya ke atas selat itu tanpa mendapat pelepasan sekatan, dan pada masa sama AS tidak lagi terlibat secara langsung dalam konflik itu. Oleh itu, tidak dapat dipastikan sama ada Israel akan meneruskan tindakan ketenteraan secara bersendirian," katanya.
Bantuan Bersasar, Selaras Harga Bahan Api Antara Langkah Perkukuh Ekonomi
Mengenai peranan kerajaan untuk memperkuat pertumbuhan ekonomi, Mohd Sedek menekankan kepentingan untuk memperkukuh daya tahan sektor utama khususnya apabila kejutan luaran meningkatkan kos, yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga atau ditanggung syarikat melalui margin keuntungan yang rendah.
Beliau berpendapat bahawa penglibatan dasar perlu menyasarkan untuk meminimumkan kesan sampingan kepada pengguna terutama bagi sektor penting untuk membendung inflasi dan melindungi kuasa beli.
“Perkara ini boleh dicapai melalui subsidi bersasar, pelepasan cukai atau mekanisme perkongsian kos bagi membolehkan syarikat menanggung sebahagian daripada kesan kejutan tanpa menjejaskan margin dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata pada masa sama, kerajaan boleh mengarahkan bank perdagangan untuk menyediakan sokongan kewangan termasuk kemudahan modal kerja dan bantuan mudah tunai.
Katanya langkah ini bagi memastikan perniagaan terus beroperasi dan berdaya tahan, mencapai keseimbangan antara memelihara daya maju perniagaan, mengekalkan kestabilan harga dan menyokong permintaan domestik.
Seimbangkan Antara Lindungi Isi Rumah dan Kekalkan Kemampanan Fiskal
Mohd Sedek berkata kerajaan perlu mencapai keseimbangan yang teliti antara melindungi isi rumah dan mengekalkan kemampanan fiskal dalam persekitaran ekonomi semasa.
Mengambil contoh subsidi bahan api, beliau berkata mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter untuk tempoh yang panjang akan memberi tekanan ketara kepada pembiayaan awam dan berisiko menyebabkan penyelarasan yang lebih mendadak pada masa akan datang.
"Walaupun had 200 liter pada masa ini adalah pendekatan munasabah, kerajaan harus mempertimbangkan penyelarasan harga subsidi secara beransur-ansur kepada sekitar RM2.20 seliter, yang masih terkawal dengan kenaikan kira-kira 10 peratus.
“Pada masa sama, memperluas bantuan tunai bersasar kepada penerima sedia ada di bawah program seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKasih akan membantu mengurangkan impak terhadap kumpulan berpendapatan rendah," katanya.
Sementara itu, Irwan Shah pula berkata, buat masa ini langkah mengekalkan program subsidi adalah penting, namun pakej rangsangan mungkin diperlukan sekiranya perang itu berlarutan.
“Belanjawan mini boleh diperkenalkan seperti yang kita laksanakan pada 2009,” katanya.
-- BERNAMA
