AM

PENYEDIA PLATFORM PERLU BERTANGGUNGJAWAB TANGANI KANDUNGAN SENSITIF

13/04/2026 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Tanggungjawab dalam menangani penyebaran kandungan sensitif di media sosial tidak boleh diletakkan kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya perlu dipikul bersama antara pengguna dan penyedia platform.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata memandangkan syarikat teknologi meraih keuntungan besar hasil daripada interaksi pengguna media sosial, adalah tidak wajar sekiranya mereka tidak memikul tanggungjawab terhadap kesan negatif di platform masing-masing.

Beliau berkata bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat dan berdaya tahan, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan dengan menyeimbangkan penguatkuasaan yang lebih berkesan oleh kerajaan serta tanggungjawab yang dipikul penyedia platform dan pengguna.

“Sudah pasti mereka (penyedia platform) kena bertanggungjawab, mana boleh lepaskan tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai cadangan United Kingdom menetapkan tempoh tertentu kepada syarikat teknologi untuk memadam kandungan sensitif, Siraj berkata pendekatan itu wajar dipertimbangkan Malaysia bagi memperkukuh perlindungan terhadap mangsa, namun pada masa sama perlu mengambil kira prinsip keadilan.

“Cadangan itu tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira proses perundangan sewajarnya, selain perlu disertai mekanisme yang membolehkan siasatan dan penilaian dibuat secara adil, termasuk ruang untuk proses rundingan atau siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Laboratori Generasi Siber, Institusi Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syafila Kamarudin berkata walaupun pengguna perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang dimuat naik di media sosial, penyedia platform juga perlu memainkan peranan penting memandangkan mereka mempunyai kawalan terhadap ekosistem digital.

Beliau berkata Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang digubal penting khususnya bagi melindungi golongan rentan seperti wanita dan kanak-kanak daripada eksploitasi dalam talian.

Penguatkuasaan ONSA yang bermula 1 Jan, menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.   

ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan terhadap pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

Selain itu, ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). 

Syafila turut menekankan keperluan untuk mencapai keseimbangan antara melindungi mangsa dengan mengelakkan ‘over-criminalisation’ terhadap pengguna biasa media sosial.

“Pada saya, hukuman penjara ini sebenarnya wajar tetapi ia perlulah secara lebih selektif terutama bagi kes yang serius. Bagi kes-kes lain, pendekatan denda dan tindakan pentadbiran lebih sesuai berbanding hukuman penjara.

“Pendekatan terbaik ialah penguatkuasaan berperingkat untuk pastikan mangsa dilindungi dan pada masa sama tidak menghukum pengguna biasa secara berlebihan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan