SHAH ALAM, 13 April (Bernama) -- Jabatan Akauntan Negara (JANM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan ilmu serta profesionalisme dalam bidang perakaunan sektor awam.
MoU berkenaan ditandatangani Akauntan Negara Datuk Zainani Jusoh, manakala UiTM diwakili Dekan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Puncak Alam Prof Dr Norli Ali.
Zainani berkata kerjasama itu merupakan platform strategik bagi merapatkan jurang antara teori dan amalan, selain memperkukuh ekosistem pendidikan serta latihan perakaunan sektor awam negara.
“Melalui gabungan kepakaran akademik UiTM dan pengalaman praktikal JANM, kita dapat melahirkan modal insan yang kompeten dari segi teknikal, berintegriti dan berdaya tahan, sekali gus bersedia menghadapi cabaran persekitaran kewangan yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi MoU itu, pelbagai bentuk kerjasama akan dilaksanakan termasuk pembangunan kompetensi dan bakat, penyelidikan serta penerbitan ilmiah, perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam perakaunan sektor awam, pemantapan pengajaran dan pembelajaran subjek perakaunan sektor awam, serta penganjuran seminar dan persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Terdahulu, Zainani yang juga Profesor Adjung Fakulti Perakaunan UiTM turut menyampaikan syarahan perdana bertajuk Perakaunan Sektor Awam: Siaga Cabaran, Kalis Hadapan di Fakulti Perakaunan UiTM Puncak Alam.
-- BERNAMA
