AM

KERAJAAN PROAKTIF HADAPI KRISIS GLOBAL, PERLU PERKUKUH DAYA TAHAN TENAGA NEGARA - PAKAR

14/04/2026 03:39 PM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Malaysia perlu memberi keutamaan kepada pengurusan simpanan strategik petroleum secara cekap di samping mempelbagaikan sumber import tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari negara tertentu yang berisiko terjejas akibat konflik.

Prof Madya Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Dr Khoo Ying Hooi berkata langkah itu perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh bagi memastikan kestabilan bekalan bahan api serta melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik Asia Barat.

“Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan perlu mempercepatkan usaha ke arah tenaga alternatif supaya kebergantungan kepada minyak global dapat dikurangkan.

“Secara keseluruhan, kombinasi antara pengurusan stok yang baik, kepelbagaian sumber dan peralihan tenaga adalah kunci untuk pastikan bekalan bahan api kekal stabil,” katanya kepada Bernama.

Mengulas langkah kerajaan melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, beliau berkata pendekatan paling praktikal ketika ini ialah gabungan subsidi bersasar dan bantuan tunai, selain kawalan harga sebagai langkah sementara bagi mengekang lonjakan mendadak.

Khoo berkata subsidi bersasar penting untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, manakala bantuan tunai dapat memberikan kelegaan segera kepada rakyat dalam menghadapi peningkatan kos harian.

“Penting untuk diakui bahawa langkah seperti subsidi tidak boleh bergantung dalam jangka panjang. Ia membantu meredakan tekanan buat sementara tetapi pada masa sama menambah beban fiskal kerajaan.

“Intervensi ini perlu dilihat sebagai langkah sementara dalam mengurus krisis. Dalam jangka lebih panjang, situasi ini sebenarnya memberi isyarat jelas kepada kerajaan untuk menilai semula pendekatan sedia ada, termasuk kebergantungan kepada subsidi dan keperluan untuk reformasi struktur seperti memperkukuh jaringan perlindungan sosial,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kegagalan rundingan antara Iran dan AS dijangka membawa kepada ketegangan berpanjangan dengan risiko peningkatan konflik yang lebih serius.

Beliau berkata perkembangan semasa menunjukkan kedua-dua pihak kini beralih daripada pendekatan mengadakan rundingan kepada tekanan strategik dan ketenteraan, termasuk sekatan serta ancaman tindak balas yang boleh menjejaskan kestabilan global.

Khoo turut menjangkakan beberapa kemungkinan berlaku seperti peningkatan konflik sama ada dalam bentuk serangan terhad, gangguan kepada kapal dagang atau ketegangan berpanjangan di Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan peningkatan tekanan ekonomi global akibat kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan.

“Pada masa sama, masih ada kemungkinan rundingan disambung semula tetapi biasanya hanya selepas kedua-dua pihak merasakan tekanan ekonomi atau ketenteraan yang cukup kuat.

“Secara keseluruhan, situasi ini cenderung ke arah ketidaktentuan yang berpanjangan, bukan sekadar konflik segera tetapi satu fasa tekanan berterusan yang boleh memberi kesan global dalam jangka masa lebih lama,” katanya.

Iran dan AS memulakan rundingan di Islamabad pada Sabtu lepas, selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan persetujuan dengan Tehran mengenai gencatan senjata selama dua minggu. 

Pada pagi Ahad, ketua delegasi AS Naib Presiden J D Vance mengumumkan bahawa Iran dan AS gagal mencapai persetujuan selepas rundingan, justeru delegasi AS pulang tanpa sebarang perjanjian.

Susulan itu, Trump mengumumkan bahawa AS akan memulakan sekatan ke atas semua kapal yang cuba masuk dan keluar dari Selat Hormuz selain mengarahkan Tentera Laut AS menjejaki dan memintas semua kapal yang membayar kepada Iran untuk melalui selat itu.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan pula berkata Malaysia bernasib baik kerana mempunyai sistem rantaian bekalan minyak dan gas yang efisien menerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di seluruh negara.

Beliau berkata kelebihan itu turut disokong melalui hubungan diplomatik yang baik dengan Tehran, sekali gus membolehkan beberapa penghantaran minyak negara melalui Selat Hormuz walaupun rantau berkenaan berdepan ketegangan geopolitik.

“Dua faktor ini yang membantu kerajaan memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara. Paling penting sistem rantaian bekalan kita sangat efisien berbanding negara jiran, sebab itu bekalan minyak kita kalau tidak berlaku apa-apa boleh bertahan hingga Mei,” katanya.

Pada masa sama Azmi berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif dan bersasar bagi mengurangkan penggunaan tenaga termasuk melalui pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) yang dilihat sebagai strategi jangka pendek berkesan dalam mengekang tekanan permintaan tenaga ketika ini. 

Beliau turut bersetuju untuk Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)  Prof Madya Dr Suseela Devi Chandran berkata kerajaan Malaysia telah secara aktif memantau perkembangan semasa dan mengekalkan hubungan diplomatik dengan Iran, namun kesiapsiagaan strategik jangka panjang masih menjadi cabaran utama. 

“Walaupun Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak dan gas, krisis tenaga global pasti memberi kesan kepada negara memandangkan 50 peratus daripada bekalan domestik lazimnya melalui Selat Hormuz. Pendekatan dasar luar Malaysia yang berkecuali tetapi berprinsip dijangka dapat memberikan sedikit kelegaan buat sementara waktu,” katanya.

Suseela Devi berkata langkah jangka pendek ketika ini, termasuk perluasan subsidi dan pempelbagaian sumber bekalan membantu negara mengurus kesan segera domestik akibat peningkatan kos tenaga. 

“Dari segi jangka pendek, pendekatan sekarang dan langkah diambil Malaysia adalah memberangsangkan. Peluasan subsidi minyak dan pempelbagaian bekalan Petronas di luar Teluk Parsi dijangka dapat membantu negara mengurus kesan domestik krisis tenaga,” katanya, menambah Malaysia juga perlu memperkukuh strategi jangka panjang menerusi kerjasama serantau dan inisiatif sekuriti tenaga yang berterusan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan