AM

PELAKSANAAN DASAR BEKERJA DARI RUMAH SEKTOR PERKHIDMATAN AWAM BERMULA ESOK

14/04/2026 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) --  Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam, yang merupakan sebahagian langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, akan bermula secara rasmi esok.

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi lapan kilometer, layak melaksanakan dasar BDR yang diperkenal serta dilaksana pada 2020 dan 2021 sebagai sebahagian daripada langkah kawalan pandemik COVID-19.

Hari BDR ditetapkan mengikut negeri serta hari kelepasan mingguan (HKM), dan negeri yang menetapkan HKM pada Ahad akan melaksanakan dasar berkenaan dari Selasa hingga Khamis manakala bagi negeri yang menetapkan HKM pada Jumaat, melaksanakan BDR dari Isnin hingga Rabu.

Bagaimanapun, beberapa sektor dikecualikan daripada pelaksanaan BDR termasuk perkhidmatan keselamatan dan pertahanan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Imigresen.

Turut dikecualikan sektor kesihatan yang memberikan perkhidmatan kritikal termasuk pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai pergigian dan jururawat serta pegawai pendidikan yang terlibat dengan sesi persekolahan.

Semua perincian dan ketetapan berkaitan BDR dinyatakan dalam surat edaran bertarikh 2 April lepas bertajuk Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam Berikutan Konflik Asia Barat yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Surat itu turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk pelaksanaan selaras arahan kerajaan.

“Bagi sektor lain yang layak, Ketua Jabatan bertanggungjawab menentukan perkhidmatan penting dan menyusun jadual BDR mengikut keperluan operasi manakala tempat bekerja semasa BDR ditetapkan di rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS),” menurut surat berkenaan.

Pegawai terlibat BDR juga dikehendaki menggunakan sistem SPOT-Me untuk perekodan kehadiran secara elektronik dengan fungsi geolokasi setiap jam manakala Ketua Jabatan memantau keberadaan dan output kerja pegawai secara berkala.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan pelaksanaan BDR bagi sektor awam pada 1 April lepas, berkata dasar itu adalah sebahagian langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Beliau berkata keputusan itu, yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Selain itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberi jaminan bahawa pelaksanaan BDR tidak akan mengganggu pergerakan ekonomi negara, dengan tumpuan dasar diberikan kepada kesinambungan produktiviti tanpa menjejaskan operasi ekonomi.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pula berkata kemudahan Internet dan fasiliti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam yang terlibat dengan dasar BDR.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi peringatan supaya Ketua Jabatan memainkan peranan memastikan setiap petugas yang ingin melaksanakan dasar BDR mematuhi peraturan ditetapkan selain memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI).

"BDR bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’ atau ‘Beli-belah Di pasar Raya’. Ia mesti mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan. Output dan produktiviti mesti sama malah kalau boleh, lebih baik daripada kerja di pejabat,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan