AM

PETROSAINS TAMPIL PENCERITAAN SAINS, PENDIDIKAN PELANCONGAN MENERUSI LIBAT URUS MEDIA

14/04/2026 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Petrosains Sdn Bhd (Petrosains) mengukuhkan kerjasamanya dengan media untuk memperluas peranan ilmu pengetahuan, pendidikan dan penceritaan dalam pembinaan naratif negara, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menerusi sesi libat urus media strategiknya bertajuk “A Memorable Experience with Petrosains”,  yang diadakan semalam, organisasi itu mengetengahkan bagaimana inisiatif Discovery Centre dan Petronas Twin Towers SkyXperience berkembang daripada sekadar tarikan pelancong kepada sebuah ekosistem dinamik yang menggabungkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pelancongan berasaskan pembelajaran.

“Kedua-duanya terus menyokong aspirasi negara termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menawarkan pengalaman yang imersif, mudah diakses dan menarik,” kata Petrosains dalam satu kenyataan hari ini.

Petrosains berkata semasa program itu rakan media turut dibawa menyusuri pengalaman di Petrosains dan PETRONAS Twin Towers SkyXperience, bagi melihat penawaran terkini serta memahami dengan lebih mendalam kisah di sebalik salah satu mercu tanda paling ikonik negara itu.

Di Petrosains, antara tarikan utama yang terbaru termasuk Veloclimb di zon SPEED, iaitu pengalaman memanjat interaktif yang menggabungkan pergerakan fizikal dengan elemen digital. 

Turut diketengahkan kepada pengunjung ialah Hello AI di zon Sparkz yang memperkenalkan asas kecerdasan buatan (AI) secara interaktif dan mudah difahami.

“Rakan media juga berpeluang merasai pengalaman di Sustainability Gallery yang menampilkan zon seperti Ecofarm, Ecofood, Ecohome, Ecotransport, Ecopledges dan Ecohorizon, yang membolehkan pengunjung mendalami gaya hidup lestari termasuk aktiviti pertanian bandar dan penuaian sayur-sayuran segar,” menurut kenyataan itu.

Lebih daripada sekadar destinasi, keseluruhan pengalaman ini memperlihatkan gabungan penerokaan interaktif, penceritaan yang menarik serta panorama bandar yang memukau, mencerminkan kemajuan Malaysia dalam inovasi, penerokaan dan kecemerlangan.

“Petronas Twin Towers SkyXperience turut mengukuhkan kedudukan globalnya apabila disenaraikan dalam World Federation of Great Towers, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam kalangan mercu tanda seni bina terkemuka dunia,” menurut kenyataan itu.

Melangkaui ruang fizikalnya, Petrosains terus memperluas impaknya ke seluruh negara menerusi inisiatif seperti Petrosains Tech4All, Petrosains PlaySmart dan Petrosains Discovery Rover.

Inisiatif tersebut menjangkaui masyarakat di luar Lembah Klang dengan menyantuni komuniti di Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang, khususnya golongan yang kurang mendapat akses dan masyarakat Orang Asli, dengan membawa peluang pembelajaran STEM secara inklusif ke seluruh Malaysia.

“Petrosains PlaySmart berfungsi sebagai pusat satelit yang menyediakan ruang pembelajaran STEM berasaskan komuniti, membolehkan pelajar merasai pengalaman interaktif lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.

“Melengkapkan usaha ini, Petrosains Discovery Rover sebagai unit bergerak jangkauan STEM menjelajah ke kawasan luar bandar dan pedalaman, menyampaikan pengalaman sains secara langsung kepada sekolah dan komuniti,” maklum kenyataan itu.

Sementara itu, menerusi ucapan alu-aluannya, Pengarah Jabatan Hubungan Pihak Berkepentingan dan Komunikasi Petrosains Puan Shamini Balan berkata sesi libat urus itu menjadi satu detik bermakna buat Petrosains, bukan sekadar sebagai ruang penghargaan, malah untuk membaharui komitmen bersama rakan media yang memainkan peranan penting mengangkat inisiatif berteraskan pendidikan menjadi kisah yang memberi impak kepada masyarakat di seluruh negara.

“Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada rakan media atas sokongan berterusan anda. Komitmen anda telah membantu mengangkat program menjadi kisah, dan kisah ini menjadi inspirasi yang memberi kesan jauh melangkaui khalayak masyarakat,” katanya.

Menjelang pelbagai inisiatif akan datang sempena TMM2026, Petrosains komited untuk terus bekerjasama rapat dengan rakan media dalam meningkatkan keterlihatan, memperkukuh penglibatan serta menyampaikan kisah berteraskan sains kepada khalayak yang lebih luas.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan