EKONOMI

MBSB IB JANGKA HARGA BRENT, MSM KEKAL MELEBIHI PARAS SOKONGAN

14/04/2026 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd menjangka harga penanda aras minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah (MSM) kekal melebihi paras sokongan serta berpotensi menguji semula paras rintangan, masing-masing pada US$114 setong dan RM4,890 satu tan dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini, unjuran berkenaan didorong terutamanya daripada sekatan yang dirancang oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas pelabuhan Iran bermula 13 April.

“(Sekatan) ini, dan sebarang ketegangan yang selanjutnya, dijangka menjejaskan pasaran. Oleh itu, kami menyarankan pelabur untuk membeli aset dan saham berkaitan komoditi kerana harganya dijangka meningkat, disokong oleh potensi kenaikan harga.

Menurut RHB Investment Bank Bhd, sekiranya berlaku senario lebih buruk seperti konflik yang berterusan atau semakin meruncing, harga minyak diunjur meningkat ketara sehingga mencecah US$140 hingga US$150 setong, bergantung kepada sejauh mana gangguan bekalan minyak itu dan tempoh gangguan bekalan.

“Kami tidak menjangkakan harga minyak kembali kepada paras sebelum konflik dengan cepat berikutan pemulihan pengeluaran minyak akan mengambil masa disebabkan gangguan logistik dan premium risiko yang berterusan boleh menyebabkan harga kekal meningkat dalam masa terdekat,” katanya.

RHB menaikkan unjuran purata harga minyak Brent bagi 2026 kepada US$82.50 setong daripada US$62 sebelum ini dan mengumumkan unjuran US$72 setong pada 2027.

Setakat ini pada tahun ini, purata harga minyak mentah Brent pada sekitar US$80.50 setong, dengan purata US$77.80 setong pada suku pertama 2026, menceminkan ketegangan geopolitik yang memuncak.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata walaupun tempoh perang masih tidak menentu, pihaknya menjangkakan harga Brent terus meningkat kira-kira lima bulan, sama seperti tempoh selepas tercetusnya perang Rusia-Ukraine pada 2022.

“Kami menyemak semula unjuran harga Brent bagi 2026 dan 2027 kepada US$90 setong dan US$75 setong daripada US$70 dan US$65 sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan