AM

CADANGAN BANGUNKAN UAS PERKUKUH EKOSISTEM AEROANGKASA NEGARA - MOHAMED KHALED

14/04/2026 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Cadangan membangunkan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kebangsaan bertujuan memperkasakan keupayaan dron tempur di samping memperkukuh ekosistem aeroangkasa negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan sistem berkenaan akan dilaksanakan dengan memanfaatkan kepakaran tempatan, teknologi luar serta kerjasama dengan negara sahabat.

“Saya turut berkongsi dalam pertemuan bersama Duta Besar Iran semalam, terdapat kesediaan negara tersebut meneroka kerjasama teknologi dalam bidang sistem tanpa pemandu yang boleh dimanfaatkan bagi mempercepat pembangunan keupayaan strategik negara.

“Usaha ini selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk mengurangkan kebergantungan luar, membangunkan R&D (penyelidikan dan pembangunan) tempatan, memperluas pemindahan teknologi dan memperkukuh keupayaan pertahanan kendiri negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi dan sudah tiba masanya membangun, memiliki dan menginovasi keupayaan pertahanan sendiri.

Terdahulu, Mohamed Khaled menerima kunjungan delegasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diketuai Timbalan Naib Canselor Prof Dr Ali Selamat, yang turut menyampaikan taklimat mengenai cadangan UAS.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan