PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Australia hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU), yang menandakan langkah penting dalam mempertingkatkan akses pasaran serta memperkukuh kerjasama sekuriti makanan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan pemeteraian MoU itu di sini hari ini, berkata perjanjian berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan bekalan makanan yang mampan di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Kami juga sepakat untuk memperdalam kerjasama dalam bidang pertanian, termasuk berkongsi kepakaran dalam pengeluaran dan pengairan bagi memastikan bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Malaysia dan Australia,” kata beliau pada sidang media bersama sejurus selepas majlis memeterai perjanjian itu.
Majlis itu diadakan bersempena dengan lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia.
Sebelum menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu, Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.
Anwar menegaskan bahawa kepentingan perjanjian itu bukan sekadar berkaitan dasar, malah memberikan kesan langsung kepada rakyat, khususnya ketika rantaian bekalan berada di bawah tekanan dan harga makanan meningkat.
“Jangan ada pihak yang tersalah menilai betapa pentingnya apa yang kita meterai hari ini, ketika rantaian bekalan terganggu dan harga makanan terus meningkat. Perjanjian seperti ini memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” kata beliau.
Anwar berkata perbincangan antara kedua-dua pemimpin hari ini berlangsung dalam suasana yang mencabar, apabila Selat Hormuz hampir ditutup selama tujuh minggu, sekali gus memberikan tekanan hebat kepada pasaran tenaga global dan mengganggu rantaian bekalan di seluruh dunia.
“Kesannya merentasi tujuh lautan dunia,” kata beliau sambil menambah bahawa keadaan itu memerlukan usaha untuk terus memperkukuh perkongsian strategik.
Meskipun berdepan cabaran, Anwar menyifatkan hubungan dengan Australia sebagai konstruktif dan berteraskan kepercayaan bersama.
“Saya amat berterima kasih kerana perkongsian pandangan ini sangat terbuka dan mesra, sebagai rakan baik ... bukan sahaja dari segi hubungan dua hala, tetapi berasaskan kepercayaan,” kata beliau.
Beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Australia bagi memperkukuh daya tahan dalam rantaian bekalan makanan dan tenaga, selain menjaga kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Australia ialah rakan ekonomi penting bagi Malaysia, berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar negara pada 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (USD18.38 bilion).
Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, bagi mengembangkan lagi kerjasama merentasi tiga tonggak utama: kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.
-- BERNAMA
