KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, hari ini melawat Menara Berkembar Petronas di sini.
Ketibaan Albanese dan delegasinya pada 2.30 petang disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Ketua Pegawai Operasi Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab.
Albanese turut mengadakan perbincangan dengan pengurusan Petronas mengenai pelbagai perkara berkaitan dan meluangkan masa melawat jambatan udara yang merupakan salah satu tarikan pelancong di menara berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Albanese dijadual mengadakan perbincangan dengan Petronas untuk memacu kerjasama dalam bidang tenaga antara Malaysia dan Australia.
Australia merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia, berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar negara pada 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion).
Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, bagi mengembangkan lagi kerjasama merentasi tiga tonggak utama: kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.
-- BERNAMA
