IPOH, 16 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) telah memperketat kawalan di 13 stesen minyak yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' di Perak, Kedah dan Perlis menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata tiga Pegawai Kanan Polis dan 54 Pegawai Rendah Polis daripada Briged Utara PGA telah digerakkan ke lokasi berkenaan yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand, iaitu dua di Perak, enam di Kedah dan lima di Perlis.
Beliau berkata langkah itu dilaksanakan bagi mengekang kegiatan ketirisan bahan api bersubsidi serta memastikan tiada ketirisan minyak diesel dan petrol di semua lokasi yang disasarkan.
“Pemantauan Ops Tiris 4.0 dilaksanakan secara syif bermula seawal 6.30 pagi dengan kehadiran berterusan anggota PGA di semua stesen minyak yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’, dan penugasan diteruskan sehingga stesen minyak tersebut ditutup,” katanya dalam kenyataan.
Balveer berkata usaha itu penting bagi memastikan bahan api bersubsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) [Petrol RON95] 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April 2026, serta Peraturan Pembelian Bahan Api Bersubsidi dalam Bekas (botol/jerikan) di Malaysia.
Justeru, beliau berkata PDRM akan terus mempertingkat keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api bersubsidi.
-- BERNAMA
