KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Sebanyak 224 projek pembinaan fizikal bernilai RM9.55 bilion sedang dilaksanakan di Pahang tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata daripada jumlah itu 123 projek melibatkan fasa prapembinaan dengan nilai RM3.87 bilion, manakala 101 projek lagi berada di peringkat dalam pembinaan dengan nilai RM5.68 bilion.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang supaya pelaksanaan projek dapat dipercepat, isu berbangkit dapat diselesaikan dengan lebih berkesan, dan manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama delegasi di KKR hari ini.
Pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak meneliti pelaksanaan projek berteraskan rakyat khususnya yang melibatkan infrastruktur asas, kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di Pahang.
Nanta berkata KKR kekal komited memastikan setiap projek dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut keutamaan demi manfaat kepada rakyat di Pahang.
-- BERNAMA
