AM

PNM SEDIA LEBIH ENAM JUTA BAHAN BACAAN, PERKUKUH AKSES ILMU RAKYAT - AARON

18/04/2026 01:10 PM

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus memperkukuh usaha memperluas akses ilmu kepada rakyat dengan menyediakan koleksi melebihi enam juta bahan bacaan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing menjelang 2030.

Ia juga bukan sekadar menghimpunkan khazanah ilmu negara, malah menjadi wadah penting dalam memperkasakan budaya membaca, menyemai pemikiran kritis serta membentuk masyarakat yang berinformasi dan berdaya maju.

“Sehingga kini, PNM telah merekodkan jumlah koleksi sebanyak 6,027,685 naskhah termasuk bahan yang diterima melalui Akta Penyerahan Bahan (Akta 331) yang dianggarkan sebanyak 2,500,000 naskhah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PNM turut memiliki koleksi manuskrip berjumlah 5,405 naskhah yang menjadi khazanah warisan intelektual negara.

Selain itu, Aaron berkata PNM turut memperkukuh akses digital dengan menyediakan 1,014,356 koleksi digital yang boleh diakses secara percuma melalui 18 pangkalan data menerusi platform u-Pustaka, sekali gus membolehkan rakyat mendapatkan bahan bacaan pada setiap masa.

Beliau berkata semua usaha itu komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada ilmu diperluas secara inklusif dan saksama demi membina sebuah masyarakat yang berpengetahuan, bersatu padu serta progresif.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan