EKONOMI

PEMBUKAAN SEMULA SELAT HORMUZ DISAMBUT BAIK TETAPI KEADAAN MASIH TIDAK STABIL - AHLI EKONOMI

18/04/2026 12:55 PM

Oleh Saraswathi Muniappan

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Langkah Iran membuka semula Selat Hormuz adalah berita yang dialu-alukan tetapi masih terlalu awal untuk meraikannya berikutan situasi keselamatan masih tidak stabil dengan kos insurans yang tinggi, kata Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan di Fakulti Sains Sosial Universiti Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng.

Beliau berkata jumlah kapal melalui laluan sempit strategik itu masih rendah, mencerminkan hakikat bahawa keadaan keselamatan masih tidak stabil.

“Selagi konflik masih tidak menentu, banyak syarikat perkapalan akan menganggapnya terlalu berisiko untuk menghantar kapal melalui laluan tersebut tanpa jaminan yang lebih jelas dan bersifat berterusan bahawa konflik tidak akan tercetus semula,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung situasi tersebut.

 Tan berkata perkara paling tidak diingini oleh pengendali ialah menghantar kapal tangki melalui selat itu tetapi mendapati ia ditutup atau terganggu semula sebelum mereka dapat menamatkan perjalanan mereka.

Semalam, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengisytiharkan bahawa Selat Hormuz “dibuka sepenuhnya” untuk semua kapal komersial, mengaitkannya dengan gencatan senjata di Lubnan.

Keputusan itu dibuat ‘selaras dengan gencatan senjata di Lubnan’, kata Araghchi dalam satu hantaran di media sosial. 

Sehari sebelumnya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan.

Tan berkata kekangan yang lebih ketara mengenai trafik adalah kos dan ketersediaan insurans.

Semasa perang AS-Israel terhadap Iran, premium risiko perang dan jumlah pengurangan melonjak, menjadikan melalui selat itu jauh lebih mahal.

Andaikan kargo bernilai US$500,000 diinsuranskan dengan pengurangan sebanyak US$5,000. Jika kargo mengalami kerosakan sebanyak US$50,000, firma insurans hanya akan membayar pampasan sebanyak US$45,000 manakala baki US$5,000 ditanggung oleh pemegang insurans.

Bagaimanapun, dengan risiko yang meningkat, nisbah ini berubah mendadak sehingga ia tidak lagi berdaya maju dari segi ekonomi untuk kedua-dua pihak, iaitu syarikat penghantar barangan dan syarikat insurans.

“Kos insurans yang tinggi itu tidak selari dengan pembukaan semula dan ramai pemilik kapal tidak bersedia untuk menanggung atau memindahkan kos tambahan ini, yang membantu menjelaskan alasan pergerakan kapal lambat untuk kembali seperti biasa,” katanya.

Tan berkata walaupun dengan penurunan harga minyak mentah baru-baru ini, kembali kepada keadaan sebelum perang adalah sukar.

“Bahagian penting infrastruktur pengeluaran dan eksport tenaga Iran telah rosak dan kerja-kerja pembaikan serta pembinaan semula akan mengambil masa berbulan-bulan dan boleh jadi lebih lama lagi.

“Selagi kapasiti belum dibaik pulih dan bekalan kembali normal, pasaran minyak dijangka kekal terhad dan harga akan terus berada pada paras tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan