JOHOR BAHRU, 18 April (Bernama) -- Sebanyak 877 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini perlu dipantau secara menyeluruh agar kekal aktif, berfungsi dan terus menjadi medium penyampaian maklumat yang efektif kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata inisiatif memperkasakan KRT di kawasan luar bandar perlu turut diberi perhatian selain menarik penglibatan semua kaum dalam kalangan generasi muda.
“Selain itu, saya berharap jaringan hubungan secara terus antara KRT di seluruh negara dapat diwujudkan sama ada secara digital mahupun fizikal bagi membolehkan setiap KRT berkongsi aktiviti, idea, inovasi dan amalan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan lawatan kerja ke Johor, semalam.
Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata pendekatan itu dilihat mampu mewujudkan persaingan sihat sekali gus menjadikan KRT lebih proaktif dalam mendekati masyarakat setempat.
Beliau berkata beberapa perkara seperti keperluan laporan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA), Sistem e-Sepakat, Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) oleh kementerian juga perlu terus dihebahkan serta dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Hadir sama dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Norzahiruddin Amin Husin dan Pengarah JPNIN negeri Nurul Akmalina Shamsuddin.
-- BERNAMA
