AM

PERMUKIMAN TANGANI PENIPUAN DALAM TALIAN DIADAKAN DALAM MASA TERDEKAT - FAHMI

18/04/2026 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan satu permukiman dalam masa terdekat, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkukuh usaha menangani penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata permukiman itu bertujuan memperincikan masalah khusus yang memerlukan penelitian dari sudut perundangan, di samping memperkasakan kerjasama serta tindakan bersepadu merentas agensi dan kementerian.

Beliau berkata MCMC turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi memastikan jenayah penipuan dalam talian dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

“Sehubungan itu, MCMC mengambil langkah proaktif dengan menjemput semua pihak berkaitan (untuk membincangkan) isu penipuan dalam talian, meliputi bukan sahaja kegiatan along, tetapi juga penipuan pelaburan, ‘love scam’ (penipuan cinta) serta jenayah lain yang menggunakan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi seperti WhatsApp dan Telegram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyakit “Tiga Serangkai’” Jadi Fokus Kempen Kesihatan Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan mengenai peningkatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along yang menggunakan platform media sosial dan sukar dikesan.

Fahmi berkata pendekatan mengadakan permukiman itu diputuskan dalam mesyuarat bersama syarikat telekomunikasi dan persatuan perbankan pada 9 April lepas.

Permukiman berkenaan dijangka berlangsung dalam beberapa minggu akan datang, dengan fokus kepada penyelarasan aspek perundangan yang memerlukan pindaan serta merangka tindakan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu program saringan kesihatan berskala besar akan diadakan serentak di kawasan perumahan awam di Parlimen Lembah Pantai bagi meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk setempat.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata program itu akan diadakan dengan kerjasama pelajar farmasi Universiti Malaya, majlis perwakilan penduduk, Komuniti MADANI, rukun tetangga, persatuan penduduk dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

“Kita mahu rakyat yang tinggal di kawasan bandar mengambil tahu tentang status kesihatan secara berkala supaya boleh mengambil tindakan awal sebelum penyakit dihidapi membawa kemudaratan yang lebih besar,” katanya.

Satu mesyuarat penyelarasan, katanya akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan tarikh sesuai untuk pelaksanaan serentak di semua perumahan awam termasuk flat dan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di Parlimen berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan