KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Datuk Dr Hang Tuah Din dipilih sebagai Presiden Alumni Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan bagi sesi 2026/2028.
Hang Tuah yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Perak menggantikan Datuk Syed Anuar Syed Mohamad yang kini dilantik sebagai penasihat persatuan tersebut.
Pemilihan beliau dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan Alumni GPMS Kebangsaan ke-13 dan Pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi sesi 2026/2028 yang diadakan di ibu negara, malam tadi.
Majlis dirasmikan Setiausaha Politik Kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan turut dihadiri Pengarah Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) Datuk Roslan Ariffin serta perwakilan negeri.
Hang Tuah berkata pemilihan beliau merupakan satu amanah untuk memastikan alumni GPMS terus konsisten memperjuangkan agenda pendidikan anak bangsa, khususnya dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Dengan jawatankuasa yang ada berbekalkan pengalaman luas serta kedudukan yang cukup baik, kita boleh menyumbang kepada negara dari segi polisi pendidikan di mana kita terlibat di peringkat libat urus supaya dapat memastikan pendidikan anak bangsa terpelihara,” katanya kepada Bernama.
Dalam pemilihan itu, jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Sabaruddin Daud, manakala empat jawatan Naib Presiden diisi oleh Prof Datuk Seri Dr Rasyid Maidin, Datuk Abdul Said Hussain, Datin Hazimah Samin dan Prof Muhd Zul Azhan Yahya.
-- BERNAMA
