AM

PENYERAHAN KUASA BALB RM4.06 BILION KURANGKAN BIROKRASI, UJI KERAJAAN NEGERI SABAH

19/04/2026 01:54 PM

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Penyerahan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dilihat mampu mengurangkan proses birokrasi, terutamanya melibatkan kelulusan teknikal dan kewangan.

Penyelidik Geopolitik dan Elektoral (GeoPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata dengan peruntukan berskala besar itu, agensi tempatan seperti Jabatan Air Negeri Sabah mempunyai autonomi mengurus tender dan memantau kerja fizikal di tapak dengan pantas.

Beliau berkata langkah pendemokrasian kuasa itu secara automatik meletakkan tanggungjawab dan akauntabiliti di bahu Kerajaan Negeri Sabah terutama dalam memastikan kelancaran projek, sekali gus menguji keupayaan kerajaan negeri yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri pada hujung tahun lepas.

“Sebarang kegagalan pelaksanaan selepas ini akan dilihat oleh banyak pihak sebagai kelemahan pengurusan domestik pada peringkat negeri manakala Kerajaan Persekutuan di mata awam, kurang dipertanggungjawabkan. 

“Sungguhpun begitu, saya menjangkakan ada pihak tertentu akan masih menyalahkan kedua-dua kerajaan sekiranya penyelarasan antara kementerian negeri dan Persekutuan tidak selancar seperti diuar-uarkan,” katanya kepada Bernama.

Pada Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kuasa pelaksanaan 83 projek BALB bernilai RM4.06 bilion di Sabah diserah kepada kerajaan negeri dalam usaha mempercepat penyelesaian projek berkenaan.

Syahruddin bagaimanapun berkata mempercepat urusan pentadbiran sahaja tidak menjamin krisis air yang membelenggu rakyat Sabah selesai sepenuhnya, kerana ia memerlukan penyelesaian lebih menyeluruh.

“Penyelesaian mutlak isu ini tetap bergantung kepada kecekapan tadbir urus, kualiti kontraktor yang dilantik serta keupayaan agensi menangani masalah teknikal kompleks seperti kadar Air Tidak Terhasil (NRW) di seluruh Sabah masa kini,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran projek mega itu, beliau berharap satu sistem pemantauan yang sangat ketat dapat dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengelakkan amalan kronisme dalam penganugerahan kontrak pembinaan.

“Keberanian menyerahkan kuasa ini suatu ujian besar kepada kepimpinan negeri bagi membuktikan kemampuan mereka. Jika pelan ini berjaya, saya yakin ia akan menjadi penanda aras baharu bagi hubungan Kerajaan Pusat dan Wilayah sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik UMS Dr Romzi Ationg menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa pelaksanaan projek berkenaan sebagai langkah yang sangat bertepatan dengan aspirasi rakyat.

“Inisiatif itu membawa harapan besar kepada seluruh penduduk Sabah yang mahu krisis bekalan air yang telah sekian lama membelenggu negeri itu tamat segera melalui tindakan yang lebih cekap dan berpusat pada peringkat negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri yang kini memegang peranan utama pelaksanaan projek, tidak boleh sewenang-wenang meletakkan persepsi kesalahan kepada pihak lain sekiranya wujud sebarang kelemahan pada masa akan datang.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah Samasuddin Yusop pula menyifatkan penyerahan 83 projek BALB itu sebagai langkah strategik tepat yang dapat mempercepat penyelesaian krisis air di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Penyerahan kuasa ini selari dengan semangat MA63 dan membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan yang lebih pantas dan bersasar mengikut realiti geografi tempatan, tanpa perlu menunggu proses daripada (Kerajaan) Pusat,” katanya.

Samasuddin berkata tumpuan kini ialah memastikan projek dilaksanakan dengan cekap dan telus agar rakyat dapat merasai manfaatnya tanpa sebarang kelewatan atau ketirisan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan