ALOR SETAR, 19 April (Bernama) -- Kesediaan untuk mengkaji cadangan mengembalikan status bebas cukai sepenuhnya di Langkawi menunjukkan keprihatinan dan usaha kerajaan merancakkan semula ekonomi di pulau pelancongan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL) Raseli Yahya yang menyambut baik perkara itu berkata ia memberi isyarat positif bahawa kerajaan komited dalam memastikan pulau itu kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Kami menghargai keprihatinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mengiktiraf cabaran semasa yang dihadapi industri pelancongan Langkawi termasuk peningkatan kos operasi dan penurunan daya tarikan pelancong domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raseli berkata PPIPL juga menjunjung kasih titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mencetuskan perbincangan berkaitan perkara itu dan menyifatkan sinergi antara kepimpinan negara dan institusi diraja amat signifikan dalam merangka penyelesaian terbaik demi kepentingan rakyat dan industri.
Beliau berkata PPIPL berpandangan bahawa kajian itu adalah langkah tepat dan berharap ia akan turut mengambil kira keperluan untuk memperkukuh semula daya saing Langkawi termasuk aspek kos, pengalaman pelancong serta kelestarian ekonomi setempat.
“Kami memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam memberi input industri serta data lapangan bagi menyokong proses penilaian itu. Harapan kami, hasil kajian itu akan membawa kepada langkah strategik yang mampu mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan Langkawi,” katanya.
Pada 1 Jan 1987, Langkawi diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai, sekali gus menjadikannya antara pusat tarikan pelancong untuk membeli-belah.
Bagaimanapun pada 1 Jan 2021, kerajaan ketika itu memperkenalkan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di pulau berkenaan, menyebabkan Langkawi tidak lagi menikmati status bebas cukai sepenuhnya.
Penasihat Pertubuhan Amal Rakyat Langkawi Nor Saidi Nanyan yang senada dengan PPIPL turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri dan berharap kajian itu akan turut mengambil kira masalah berkaitan perkhidmatan feri di Langkawi yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Isu asas seperti perkhidmatan feri yang tidak konsisten, jadual perjalanan yang terhad serta ketidakselesaan penumpang terus menjejaskan medium yang menghubungkan Langkawi dengan Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
“Perkhidmatan feri yang dikendalikan Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mempunyai pergantungan tinggi, namun ketidakstabilan perkhidmatan, jadual yang terhad dan isu keselesaan penumpang memberi kesan besar kepada industri pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Datuk Salleh Saidin berkata beliau yakin langkah mengembalikan status bebas cukai sepenuhnya di Langkawi akan menambahkan lagi kerancakan sektor pelancongan di pulau permata Kedah itu.
Beliau berkata sektor pelancongan di pulau itu menunjukkan perkembangan positif apabila buat pertama kalinya sejak pandemik COVID-19, jumlah ketibaan pelancong melepasi angka tiga juta orang pada tahun lepas.
Menurut Salleh, statistik rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menunjukkan semasa sebahagian besar dunia masih dibelenggu pandemik pada awal 2021, jumlah pelancong yang tiba menjunam kepada 1.09 juta orang, sebelum meningkat kepada 2.58 juta (2022) dan 2.81 juta (2023).
Salleh berkata pada 2024, angka itu meningkat kepada 2.91 juta dan 3.22 juta semasa Tahun Melawat Kedah 2025.
“Lonjakan pelancong akan berlipat ganda jika status bebas cukai sepenuhnya dikembalikan kerana sejak mula, itulah wajah, imej dan kekuatan asal Langkawi,” katanya, sambil menambah pulau itu tidak pernah hilang magisnya sebagai destinasi pelancongan yang unggul.
-- BERNAMA
