PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 mendedahkan bahawa hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia memenuhi lima kriteria utama bagi mencapai penuaan sejahtera, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Lima kriteria tersebut ialah mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi, tiada limitasi kognitif dan kemurungan, mampu berdikari dalam aktiviti harian serta tiada penyakit kronik atau penyakit kronik yang terkawal.
Dzulkefly berkata tinjauan populasi melibatkan 7,528 responden itu merupakan kajian kedua yang menumpukan kepada status kesihatan warga emas berumur 60 tahun ke atas susulan tinjauan pertama pada 2018.
“Dapatan itu menunjukkan keperluan mendesak memperkukuh usaha kesihatan awam dan sokongan sosial bagi memastikan golongan itu dapat menua secara sihat dan bermaruah.
"Jika negara maju seperti Jepun dan Sweden mengambil masa hampir satu abad untuk menyesuaikan sistem mereka, Malaysia diunjurkan mencapai status negara menua menjelang 2036 apabila komposisi penduduk berumur 60 tahun ke atas dijangka melebihi 15 peratus,” katanya sambil menambah kelajuan penuaan penduduk negara ini juga antara yang terpantas di dunia.
Beliau berkata demikian pada pada majlis pelancaran Dapatan Tinjauan NHMS 2025: Kesihatan Warga Emas, di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata statistik NHMS 2025 turut mendedahkan dua cabaran sistemik iaitu isu mobiliti dan isolasi sosial serta beban kewangan yang ditanggung warga emas dan penjaga mereka.
"Dengan populasi warga emas mencecah 4.1 juta orang dan 18.8 peratus daripadanya tinggal bersendirian, kekangan pengangkutan dikhuatiri menjadi hambatan utama yang menghalang mereka daripada mengakses rawatan di fasiliti kesihatan secara konsisten.
"Isu mobiliti ini bukan sekadar masalah logistik, tetapi faktor kritikal yang menjejaskan kualiti hidup dan keselamatan mereka," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tinjauan itu juga mendapati 61.3 peratus warga emas yang tinggal bersendirian mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi.
Dapatan NHMS 2025 itu turut mengetengahkan isu beban kewangan yang semakin meruncing, bukan sahaja kepada warga emas tetapi juga penjaga mereka, apabila satu daripada tiga penjaga dilaporkan memikul beban berat yang melampau meliputi aspek fizikal, emosi dan tekanan kewangan yang signifikan.
"Kekangan ini semakin meruncing memandangkan hanya 40 peratus rakyat mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencukupi untuk hari tua. Dilema ekonomi ini memaksa keluarga mendahulukan keperluan asas sehingga aspek jagaan kesihatan terpaksa diketepikan," katanya.
Dzulkefly berkata dari segi kesihatan mental 9.8 peratus warga emas mengalami demensia pada 2025, meningkat sedikit daripada 8.5 peratus pada 2018, manakala prevalens kemurungan susut kepada lapan peratus daripada 11.2 peratus.
“Dari segi kesihatan fizikal pula, prevalens limitasi melaksanakan Aktiviti Kehidupan Harian (ADL) dalam kalangan warga emas berada pada 10 peratus, menyusut daripada 17 peratus.
"Pada masa yang sama, prevalens limitasi dalam melaksanakan Aktiviti Kehidupan Harian Berinstrumental (IADL) menurun kepada 27 peratus berbanding 33 peratus pada 2018," katanya.
Dzulkefly berkata dapatan NHMS 2025 menunjukkan 30.6 peratus warga emas tidak aktif secara fizikal, manakala 12.8 peratus terlibat dalam tingkah laku sedentari yang tinggi.
Tinjauan itu juga mendapati 45 peratus warga warga emas mengalami sarkopenia, 60 peratus berisiko mengalami frailti dan 11 peratus telah telah mengalami frailti.
Beliau berkata bagi menangani cabaran penuaan penduduk beberapa anjakan strategik telah digariskan termasuk peralihan daripada model rawatan kepada pencegahan, memperkukuh penjagaan berasaskan komuniti serta reformasi pembiayaan penjagaan jangka panjang.
Antara langkah yang sedang dipertimbang ialah pelaksanaan insurans penjagaan jangka panjang bagi memastikan warga emas tidak terpaksa memilih antara mendapatkan penjagaan kesihatan berkualiti atau menanggung beban kewangan keluarga, katanya.
Selain itu, pusat aktiviti warga emas perlu diperkasakan sebagai hab penjagaan bersepadu di peringkat komuniti, yang menghimpunkan perkhidmatan kesihatan, rehabilitasi, sokongan sosial serta pemantauan kesihatan digital.
Dzulkefly turut menekankan kepentingan membangunkan ekonomi warga emas (silver economy) bagi mengiktiraf peranan golongan itu sebagai sumber pengalaman dan tenaga kerja yang berpotensi.
-- BERNAMA
