EKONOMI

SUHAILI KEKAL JAWATAN YANG DIPERTUA DPMM LABUAN TANPA BERTANDING

20/04/2026 05:57 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 20 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Labuan selepas menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pertubuhan itu pada Ahad.

AGM berkenaan juga menyaksikan pembentukan barisan kepimpinan baharu bagi memacu agenda pertubuhan itu dalam memperkukuh peranan usahawan Melayu serta memperkasa peluang perniagaan di pulau tersebut.

Sementara itu, Mohd Ismi Farizal Mohamad Ishak dipilih sebagai timbalan yang dipertua manakala Mohammad Khairul Abdul Ghani menyandang jawatan naib yang dipertua.

Ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Azizie Mohd Yusoph, Noridawati Abdul Ghani, Arjuna Yusop, Junaidi Abdullah, Sumiaty Lawa Said, Adnan Talipudin, Mohamad Zulismail Jahri, Mohamad Norizam Mohamad Don dan Hashimah Karim.

Kemenangan tanpa bertanding Suhaili mencerminkan keyakinan tinggi dalam kalangan ahli terhadap kepimpinan beliau terutamanya dalam memajukan peranan DPMM bagi menyokong perniagaan tempatan dan mengalakkan pembangunan ekonomi di Labuan.

Suhaili berkata DPMM dijangka terus memberi tumpuan kepada memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mempermudah kaedah rangkaian perniagaan serta memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri.

Ini bagi terus meningkatkan kedudukan Labuan sebagai hab perniagaan dan kewangan yang kompetitif, katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan