KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Tanco Holdings Bhd berhubung kenaikan harga sahamnya yang luar biasa baru-baru ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan pembinaan dan pembangunan hartanah ditanya sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat terbaharu berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan belum diumumkan yang mungkin merangkumi aktiviti perdagangan termasuk dalam peringkat rundingan atau perbincangan.
Bursa Malaysia juga bertanya sama ada terdapat sebarang khabar angin atau laporan mengenai hal ehwal perniagaan kumpulan itu yang boleh menjelaskan aktiviti perdagangan tersebut.
Harga saham Tanco meningkat secara stabil sejak seminggu lepas, hari ini berlegar antara RM1.57 dan mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu iaitu RM1.72.
Pada penutupan hari ini, kaunter saham itu merosot 5.32 peratus atau sembilan sen kepada RM1.60 daripada RM1.69 semalam dengan 29.63 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
