SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Invest Selangor Bhd akan mengadakan sesi libat urus dengan sektor utama seperti perkhidmatan dan pembinaan dalam sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan ketahanan ekonomi di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu diambil bagi menilai keperluan semasa industri serta merangka bentuk sokongan yang lebih bersasar dan efektif demi memastikan kelangsungan perniagaan di Selangor terus terjamin.
“Invest Selangor akan merangka jadual dalam tempoh seminggu dua lagi untuk bertemu dengan sektor-sektor penting seperti perkhidmatan, pembinaan. Kita mahu lihat pusingan kedua dalam sebulan dari sekarang berhubung apakah bentuk sokongan kepada industri ini supaya mereka mampu bertahan walaupun akan sedikit tertekan daripada krisis yang berlaku.
“Kita akan pastikan sokongan yang dirangka lebih tersusun dan benar-benar sampai kepada sektor yang memerlukan supaya daya tahan ekonomi di negeri ini dapat diperkukuh,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini hari ini.
Amirudin berkata pelaksanaan fasa kedua pakej berkenaan akan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta keperluan memastikan ekosistem industri tempatan kekal stabil dan berdaya tahan.
Menurutnya, pendekatan berfasa itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri menilai keberkesanan setiap intervensi secara lebih menyeluruh sebelum memperluas atau menambah baik langkah sokongan yang diperlukan.
“Pendekatan ini membolehkan kita menilai impak setiap sokongan secara lebih tepat dan berfokus kepada sektor yang benar-benar terkesan. Kita mahu setiap langkah yang diambil memberi kesan langsung kepada pemulihan dan ketahanan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya menjunjung kasih di atas teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, khususnya berkaitan pencapaian ekonomi negeri yang memberangsangkan.
Ia termasuk kejayaan merekodkan pelaburan berjumlah RM83.9 bilion pada 2025 yang melepasi sasaran awal serta mewujudkan lebih 61,000 peluang pekerjaan.
Beliau berkata teguran itu menjadi panduan penting dalam memastikan keseimbangan antara pencapaian ekonomi dan penambahbaikan berterusan bagi setiap dasar serta pelaksanaan projek pembangunan.
“Kita menyokong dan menjunjung kasih di atas semua teguran Tuanku termasuk berkaitan pencapaian ekonomi dan peluang pekerjaan yang telah dicatatkan.
“Ini adalah keseimbangan daripada apa yang kita perlu lakukan kerana di samping pencapaian ekonomi yang baik, masih ada ruang untuk dipertingkatkan,” katanya.
Terdahulu dalam titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa gembira apabila lebih separuh daripada pelaburan di Selangor yang berjumlah RM48.9 bilion atau 58.3 peratus pada 2025 adalah daripada pelabur tempatan.
Sultan Selangor bertitah, pada 2025 aktiviti ekonomi di Selangor telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM83.9 bilion, melebihi sasaran awal iaitu RM65 bilion dan menawarkan 61,311 peluang pekerjaan.
Khamis lepas, Amirudin mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor sebagai inisiatif kerajaan negeri untuk memperkukuh ketahanan ekonomi bagi berdepan cabaran ketidaktentuan global.
Pakej itu memberi tumpuan kepada langkah sokongan segera merangkumi bantuan bersasar kepada rakyat serta pengukuhan aktiviti ekonomi tempatan yang turut melibatkan penyelarasan pelbagai agensi bagi memastikan keberkesanan intervensi dan impak terus kepada kumpulan sasar di Selangor.
-- BERNAMA
