JENAYAH & MAHKAMAH

MAYAT LELAKI REPUT DALAM BUNGKUSAN KANVAS DITEMUKAN DI PULAU ANGSA

20/04/2026 09:13 PM

SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Polis menemukan mayat seorang lelaki yang sudah mereput di dalam satu bungkusan kanvas di kawasan tebing batu Pulau Angsa, Jeram, Kuala Selangor pada Sabtu lepas. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajudin berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 4.50 petang yang memaklumkan penemuan bungkusan mencurigakan yang berbau busuk ketika sedang memancing di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia mendapati bungkusan itu mengandungi mayat yang sudah mereput, dibalut dengan kanvas dan diikat menggunakan tali.

“Mayat berkenaan kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital UiTM Puncak Alam untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azaharudin berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat dijerut pada leher.

Beliau berkata setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes ASP Khairol Hiysham Shamsudin di talian 03-3289 1222.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan