MACHANG, 20 April (Bernama) -- Sekolah Tahfiz al-Quran al-Furqan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang ditubuhkan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang pada 2023 berjaya melahirkan dua orang hafiz dalam tempoh singkat.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kejayaan itu membuktikan keberkesanan sekolah berkenaan melahirkan golongan hafiz dalam kalangan prospek atau dikenali sebagai mujahid.
Beliau berkata pencapaian itu bukan sahaja membantu proses pemulihan diri, malah membuka ruang kepada mereka untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.
“Lebih membanggakan, seorang daripada mujahid berkenaan turut terpilih sebagai penerima insentif Huffaz al-Quran MAIK bagi 2026,” katanya pada Majlis Khatam Perdana Hafazan al-Quran Sekolah Tahfiz al-Quran al-Furqan di sini hari ini.
Beliau berkata program yang dibiayai melalui dana zakat MAIK serta wakaf Sultan Mansor itu menawarkan insentif RM7,200 setahun atau RM600 sebulan, selain memberi peluang kepada penerima mengetuai program murajaah di masjid terpilih di seluruh Kelantan.
Mohamad Rizam berkata penerima insentif turut memainkan peranan sebagai tenaga pengajar kepada prospek lain dalam proses pembelajaran dan hafazan al-Quran di pusat pemulihan berkenaan.
Beliau berkata MAIK komited meneruskan program tahfiz itu dengan pengambilan mujahid baharu bagi melengkapkan 30 peserta setiap sesi, meskipun berdepan kekangan seperti tempoh penahanan singkat dan perintah parol, termasuk menempatkan mereka di masjid terpilih bagi meneruskan hafazan.
Katanya MAIK sebelum ini menyalurkan RM122,234 kepada Jabatan Penjara Kelantan untuk menyediakan kemudahan sekolah tahfiz yang kondusif.
Sementara itu, berada di sebalik tirai besi bukan penghalang buat seorang prospek yang mahu dikenali sebagai Mohammad, 36, untuk bergelar hafiz.
Beliau berkata kehidupannya berubah sepenuhnya selepas menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Akhlak Machang di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sejak September 2023.
Katanya peluang menyertai program tahfiz anjuran MAIK menjadi titik perubahan dalam hidupnya selepas melepasi proses saringan.
“Tidak pernah terlintas untuk menjadi hafiz sebelum ini. Namun dengan disiplin hafazan yang ketat setiap hari, saya berjaya khatam (hafazan) 30 juzuk dalam tempoh satu tahun lapan bulan,” katanya.
Dalam majlis sama, Mohammad turut menerima Insentif Huffaz al-Quran MAIK bagi 2026 berjumlah RM7,200 setahun atau RM600 sebulan.
Beliau berkata kejayaan itu mengubah persepsi keluarganya, khususnya bapanya yang kini berbangga kerana memiliki dua anak bergelar hafiz.
Katanya latar belakang sebagai pendidik serta penguasaan bahasa Arab membantunya menghafaz dengan lebih cepat dan beliau berhasrat menjadi guru al-Quran sebagai kerjaya setelah dibebaskan yang dijangka pada 2029.
Seorang lagi prospek dikenali sebagai Ahmad, 34, berkata beliau yang sebelum ini tidak tahu membaca al-Quran kini berjaya menghafaz sembilan juzuk selepas mengikuti program sama.
Bapa kepada seorang anak itu berkata beliau memulakan pembelajaran dari asas dan mengamalkan disiplin tinggi termasuk bangun seawal 4.30 pagi untuk beribadah serta mengulang hafazan, selain bertekad menghafaz 30 juzuk sebelum dibebaskan dalam tempoh dua tahun lagi.
-- BERNAMA
