KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Satu perarakan bakal diadakan di Brussels, Belgium pada 22 April ini susulan Kongres Parlimen Global Sumud, yang menghimpunkan lebih 200 pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ahli parlimen dan pemimpin masyarakat untuk menyelaraskan tindakan antarabangsa terhadap Palestin.
Dalam kenyataan hari ini, Global Sumud Flotilla menegaskan bahawa perarakan itu "bukanlah protes simbolik", tetapi terjemahan komitmen politik kepada tekanan awam.
"Ketika Global Sumud Flotilla mara ke Gaza, mencabar sekatan haram Israel pada masa nyata, mobilisasi ini akan membawa konfrontasi sama ke tengah-tengah kuasa Eropah, mengubah konsensus institusi kepada permintaan kolektif yang nyata," menurut kenyataan itu.
Perarakan itu akan bermula di Mont des Arts pada 6 petang dan bergerak ke Place du Luxembourg (Parlimen Eropah).
Perarakan itu juga akan menghimpunkan tokoh penting seperti pemimpin politik Palestin, ahli parlimen antarabangsa dan Eropah, pemimpin Global Sumud Flotilla, pakar gabungan PBB, wakil Selatan Global dan kumpulan masyarakat sivil.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa kongres tersebut dijangka mencapai kemuncak dengan pemeteraian Deklarasi Brussels, satu inisiatif parlimen bertujuan mengubah kewajipan undang-undang antarabangsa kepada tindakan politik yang konkrit, termasuk sokongan untuk mekanisme penentuan nasib rakyat Palestin sendiri dan akauntabiliti.
Deklarasi itu dijangka menggariskan langkah-langkah ke arah mewujudkan koridor maritim ke Gaza, menamatkan penglibatan tentera dan politik, serta mengukuhkan kerangka akauntabiliti antarabangsa.
"Ketika kerajaan berlengah-lengah dan institusi terpesong, satu pertemuan terbentuk. Mobilisasi ini akan menyatukan kuasa berkenaan, mengenakan tekanan awam yang diselaraskan di tengah-tengah lokasi pembuatan keputusan di Eropah," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
