AM

KEBAKARAN DI SANDAKAN: KDN BANTU MANGSA DAPATKAN KEMBALI DOKUMEN DIRI

21/04/2026 02:05 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membantu mangsa kebakaran di Sandakan, Sabah mendapatkan kembali dokumen pengenalan diri mengikut prosedur sedia ada. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses mendapatkan kembali dokumen berkenaan tertakluk kepada penelitian dan bukannya diberikan kepada semua mangsa sewenang-wenangnya.

“Soal pemilikan dokumen peribadi ini sangat penting. Pada masa sama, ia tidak boleh juga sewenang-wenangnya diberikan kepada mereka yang tidak layak memilikinya. 

“Jadi ayat yang lebih tepat adalah KDN akan membantu sedaya upaya kami utamanya bagi mereka yang betul-betul mempunyai status warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, dokumen pengenalan diri ganti akan diberikan kepada warganegara membabitkan insiden kebakaran dan sebagainya. 

“Kalau insiden seperti itu (kebakaran) berlaku menyebabkan dokumen itu hilang, kami akan memudahkan proses mengadakan dokumen ganti tetapi itu bukan bermakna bahawa kita akan pukul borong saja. Kita akan tangani satu persatu,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata keutamaan Kerajaan Persekutuan, negeri ketika ini adalah aspek penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk semua mangsa berkenaan.  

“Oleh kerana mangsa terlibat lebih 9,000, rumah atas air tu 1,000 lebih. Kerajaan Negeri Sabah dengan semua agensi negeri dan pusat sedang melakukan proses pendaftaran. 

“Keutamaan kita adalah sediakan dulu PPS buat mereka dan dalam proses pendaftaran itu, kalau nantinya kita temui kes-kes umpamanya individu atau anggota yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan tangani perkara itu satu persatu,” katanya.

Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah, dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan mangsa yang terlibat ditempatkan di beberapa PPS termasuk Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan Gas, Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi, Dewan Sibuga serta Sekolah Kebangsaan Karamunting.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan