AM

MALAYSIA, NAMIBIA BAKAL METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA SEKTOR MINERAL, TENAGA

21/04/2026 04:23 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Malaysia dan Namibia akan memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor mineral dan tenaga termasuk memulakan rundingan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) khusus bagi memacu pembangunan rantaian nilai industri tersebut secara mampan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan memaklumkan sebagai instrumen pelaksanaan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memulakan libat urus di peringkat teknikal antara agensi yang berkaitan bagi merangka MoU berkenaan.

“Kerangka kerjasama rasmi ini dijangka memacu pemindahan teknologi, pembinaan kapasiti dan pertukaran kepakaran merangkumi bidang geosains, pengurusan sumber, serta pemulihan lombong,” maklum kenyataan itu.

Menurut NRES, usaha itu akan turut disokong melalui jalinan kerjasama antara industri  bagi memperkukuh ekosistem pelaburan yang mampan.

Kementerian itu memaklumkan pertemuan dua hala antara Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh dan Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Republik Namibia Selma Ashipala-Musavyi semalam merupakan satu manifestasi penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama strategik.

Perbincangan peringkat tinggi tersebut memfokuskan kepada potensi sinergi dalam sektor tenaga dan pemprosesan bahan industri, khususnya dalam konteks peralihan tenaga global dan pembangunan sektor mineral.

Menurut NRES, Namibia yang dilimpahi sumber mineral huluan seperti litium, uranium dan unsur nadir bumi (REE) telah menyatakan hasrat untuk memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam pembangunan rantaian nilai industri tersebut.

“Kerjasama ini sejajar dengan dasar kedua-dua negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah dan beralih kepada pemprosesan peringkat pertengahan dan hiliran bagi menjana nilai tambah ekonomi yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan menekankan bahawa pembangunan sektor perlombongan perlu diimbangi dengan pemeliharaan kelestarian alam sekitar serta amalan perlombongan yang bertanggungjawab.

"Sebagai negara rakan dari Selatan Global, pertemuan itu turut mencerminkan kesepakatan pandangan dalam isu geopolitik antarabangsa, termasuk sokongan penuh terhadap hak penentuan nasib sendiri dan pembebasan negara Palestin.

“Kementerian berkeyakinan penuh bahawa lawatan rasmi dan perbincangan ini akan membina asas perkongsian yang seimbang, praktikal dan kukuh antara Malaysia dan Namibia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan