Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM10 bilion untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka memperkukuh daya tahan mereka terhadap impak krisis Asia Barat, kata ahli ekonomi.
Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata langkah itu mencerminkan kepentingan PMKS sebagai agenda fiskal utama kerajaan.
Sokongan tersebut meliputi RM5 bilion dalam bentuk jaminan di bawah skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM5 bilion kemudahan khas di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).
“Tanpa bantuan sedemikian, banyak perniagaan yang berdaya maju akan menangguhkan pengembangan, inovasi atau pendigitalan disebabkan oleh kekangan pembiayaan dan bukannya kerana kekurangan permintaan,” katanya dalam maklum balas bertulis kepada Bernama berhubung pengumuman oleh kerajaan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kemudahan khas bagi membantu PMKS menangani impak krisis Asia Barat, dengan perincian mengenai kemudahan di bawah BNM itu bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Peruntukan itu bagi menyokong PMKS terjejas termasuk pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kemudahan itu melengkapi jaminan RM5 bilion di bawah SJPP yang diumumkan semalam untuk menyokong PMKS yang terjejas.
Mengenai skim SJPP, Barjoyai berkata perkongsian risiko di bawah skim itu mengurangkan kadar penolakan kerana bank-bank lebih bersedia untuk memberi pinjaman apabila sebahagian besar risiko ingkar bayar diserap.
“Rangka kerja jaminan pralulus juga membolehkan kitaran kelulusan yang lebih pantas berbanding bantuan kerajaan secara ad hoc dan membolehkan liputan sektor yang lebih luas, khususnya memberi manfaat kepada perniagaan berasaskan perkhidmatan, halal, hijau dan digital yang biasanya kekurangan cagaran yang mencukupi,” katanya.
Barjoyai berkata dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, langkah itu dijangka menstabilkan aliran tunai PMKS, mengelakkan perniagaan ditutup dan menyokong guna tenaga, terutamanya dalam sektor berasaskan permintaan domestik.
“Daripada perspektif makroekonomi, pembiayaan PMKS mempunyai pengganda domestik yang tinggi, menyokong pertumbuhan dari bawah ke atas dan bukannya pelaburan enklaf, serta melengkapi dasar infrastruktur dan perindustrian berskala besar.
“Walaupun langkah ini sahaja tidak akan mengubah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) utama secara ketara, tetapi ia dapat memperbaiki kualiti dan daya tahan pertumbuhan, menjadikannya kurang terdedah kepada kitaran luar,” kata ahli ekonomi berkenaan.
Barjoyai turut berkata memperluaskan skim SJPP itu boleh membantu melindungi PMKS daripada kejutan luaran, termasuk ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang lebih lembap.
“Memperluaskan SJPP dapat membantu PMKS menangani gangguan rantaian bekalan, kos input yang lebih tinggi, kelewatan bayaran daripada pasaran eksport dan ketidaktentuan yang timbul akibat ketegangan geopolitik atau perdagangan global yang lebih perlahan.
“Pembiayaan yang dijamin membolehkan PMKS menangani ketidakseimbangan aliran tunai, mempelbagaikan pembekal atau pasaran serta menstruktur semula operasi dan bukannya mengambil tindakan memberhentikan pekerja secara mendadak,” katanya.
Beliau menambah apa yang lebih penting, langkah itu bertindak sebagai penampan awal, membantu syarikat yang pada asalnya sihat untuk kekal solven semasa tempoh ketidaktentuan, di samping mengurangkan kesan berantai terhadap pekerjaan, kegagalan membayar balik hutang dalam sistem perbankan dan tekanan ke atas program bantuan sosial.
-- BERNAMA
