KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Datuk Hazri Hassan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM130,000 membabitkan dana Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT).
Hazri, 57, yang juga Pengerusi LJT, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, Hazri didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi LJT untuk memperoleh suapan berjumlah RM30,201.16 bagi dirinya sendiri.
Perbuatan itu dikaitkan dengan penglibatannya dalam Mesyuarat Lembaga LJT yang membincangkan penyertaannya ke Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM) Sesi ke-14 di New York, Amerika Syarikat dari 4 hingga 9 Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM105,914 bagi dirinya sendiri.
Ia melibatkan penglibatannya dalam Mesyuarat Lembaga LJT berhubung penyertaannya ke mesyuarat di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi dari 29 Jan hingga 4 Feb 2025.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Pusat Bandar Melawati pada 3 Ogos 2024 serta di sebuah hotel di sini pada 31 Dis 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak telah berbincang dan bersetuju untuk jumlah jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
"Walaupun ia adalah kes yang tidak boleh dijamin, terletak kepada budi bicara mahkamah untuk memberikan jaminan. Pihak kami telah berbincang dengan pembelaan dan kami bersetuju untuk tiada sebarang bantahan,” katanya.
Peguam Muhammad Amin Othman yang mewakili tertuduh, dengan dibantu peguam Amirah Batrisyia Adam Khan memohon jaminan RM70,000 itu dijelaskan secara ansuran dua kali iaitu RM50,000 pada hari ini, manakala baki RM20,000 pada Jumaat ini.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, selain membenarkan permohonan tertuduh untuk menjelaskan jaminan secara ansuran sebanyak dua kali.
Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
