JASIN, 22 April (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd mengumpul 115 tan barangan kitar semula di Jasin dari 2020 hingga 2025, kata Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan peningkatan kutipan barangan kitar semula sebanyak 10 peratus pada tahun ini menerusi Pusat Pandu lalu KITARecycle (PPLK) yang baharu dibuka di tapak letak kereta Taman Muhibbah pada hari ini.
"Kita jangkakan kutipan barangan kitar semula sebanyak dua hingga tiga tan menerusi PPLK baharu ini dan secara keseluruhan, anggaran kutipan barangan kitar semula bagi Jasin adalah 15 tan pada tahun ini.
"Kita akan bersama-sama dengan Majlis Perbandaran Jasin untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kewujudan PPLK ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Muhibbah Jasin dan Laman Seni @ Jasin Street Art yang disempurnakan Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin hari ini.
Mohd Norlisam berkata PPLK berbentuk kabin yang merupakan ketiga di Melaka itu dengan ahli berdaftar menghantar barangan kitar semula akan mendapat mata ganjaran yang boleh ditebus kepada tunai menerusi kaedah perbankan dalam talian.
-- BERNAMA
