AM

YAYASAN KITA ANAK MALAYSIA BANTU LEBIH 300,000 PELAJAR SELURUH NEGARA

22/04/2026 10:34 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 April (Bernama) -- Yayasan Kita Anak Malaysia telah membantu lebih 300,000 pelajar di seluruh negara termasuk golongan cemerlang, anak yatim dan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, sejak penubuhannya lima tahun lepas.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kita Anak Malaysia H. Puvaniten berkata bantuan itu, diberikan dari semasa ke semasa melibatkan pelajar yang memerlukan dalam usaha membantu mereka dalam pendidikan supaya tiada yang tercicir.

“Sehingga hari ini, yayasann telah bantu lebih 300,000 murid dan pelajar dengan kos keseluruhan jutaan ringgit dan juga bagi sumbangan kepada pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan pencapaian CGPA  (purata nilai gred keseluruhan) tinggi.

“Sumbangan diberikan secara tunai supaya murid serta pelajar dapat gunakan untuk pendidikan dan galakan kepada mereka untuk terus berjaya dalam akademik,” katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Yayasan Kita Anak Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Alam Sekitar Datuk Seri S. Sundarajoo, di sini malam ini.

Puvaniten berkata kira-kira 35,000 pelajar di Pulau Pinang sahaja telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disalurkan oleh yayasan itu.

Beliau berkata yayasan itu turut memberi perhatian kepada kebajikan golongan lain termasuk warga emas, keluarga daif serta anak-anak asnaf yang memerlukan sokongan.

“Yayasan Kita Anak Malaysia akan terus proaktif dalam mengusahakan ekosistem pendidikan menyeluruh, termasuk menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri dan agensi kerajaan, kerana usaha itu penting bagi memastikan pembangunan pendidikan yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi, selaras dengan keperluan masa depan negara.

“Melalui pendekatan kolaboratif itu, Yayasan Kita Anak Malaysia bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kesejahteraan pelajar,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan