KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 12 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Universiti Malaya, akan menyertai program mobiliti antarabangsa di Jakarta, Indonesia menerusi Program International & Inclusive Learning for Diverse Excellence (INCLUDE).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi hantaran di Facebook berkata pelajar terbabit, akan mengikuti program mobiliti di Universitas Multimedia Nusantara sebagai sebahagian usaha memperkasakan agenda pendidikan inklusif negara.
“Inilah antara pendekatan yang kita tekankan di Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang benar-benar inklusif, adil dan membuka ruang pengalaman global kepada semua mahasiswa, tanpa mengira latar belakang serta kekurangan yang dimiliki,” katanya.
Zambry telah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa, bagi membantu kelancaran program itu serta meringankan keperluan pelajar terlibat.
Beliau berkata inisiatif itu selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pengecualian yuran pengajian kepada pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti.
Zambry berkata langkah berkenaan dijangka memanfaatkan kira-kira 3,000 pelajar OKU, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dalam memperkukuh pendidikan inklusif negara.
Beliau turut meluahkan penghargaan terhadap semangat pelajar terbabit, selain menyatakan telah turut berpeluang mempelajari asas penggunaan tulisan Braille ketika pertemuan bersama mereka.
-- BERNAMA
