AM

WARUNG LAMAN KAMPUNG JB KEKAL TAWAR SET MAKANAN RM5 SEJAK DUA TAHUN LEPAS

24/04/2026 09:47 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Pada saat kos bahan mentah semakin meningkat, seorang peniaga di bandar raya ini kekal menawarkan set makanan serendah RM5 sebagai usaha membantu masyarakat mendapatkan hidangan pada harga mampu milik.

Anor Serat, 57, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak perkapalan selama 19 tahun di Singapura, membuka warung dikenali sebagai Laman Kampung JB di Kampung Bendahara, di sini sejak dua tahun lepas.

Peniaga itu berkata warungnya yang beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat, menawarkan pilihan hidangan bagi set makanan RM5 dengan lebih 40 jenis lauk disediakan.

“Set makanan terdiri daripada nasi, sayur, lauk-pauk termasuk ikan atau ayam serta dua pilihan minuman iaitu teh dan sirap ais.

“Nasi pun boleh ditambah secara percuma dan setiap dua jam masakan (lauk-pauk) akan ditambah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Anor, yang berasal dari Pulau Pinang dan berhijrah ke Johor sejak 20 tahun lepas, berkata perniagaan itu mempunyai nilai sentimental kerana didorong pesanan ibu dan bapanya yang sentiasa mengingatkan agar sentiasa bersedekah dan membantu orang lain.

Justeru, dia berkata tidak menumpu kepada keuntungan semata-mata, sebaliknya mahu memastikan semua lapisan masyarakat mampu menikmati makanan pada harga berpatutan.

"Walaupun kos bahan mentah meningkat, insya-Allah saya akan terus kekalkan harga RM5, setakat ini keuntungan tetap ada,” katanya.

Anor mengakui keuntungan yang diperoleh mungkin tidak setinggi premis makanan lain, namun tetap bersyukur kerana perniagaan itu terus mendapat sambutan daripada orang ramai.

Perniagaannya itu turut dipromosi menerusi platform TikTok, sekali gus menyebabkan dia dikenali oleh pelanggan yang datang dari luar kawasan.

Pada Ramadan lepas, dia turut menawarkan enam juadah berbuka puasa dalam set dulang pada harga hanya RM20 yang boleh dinikmati dua hingga tiga orang.

Sementara itu, pelanggan turut memuji usaha Anor yang dianggap prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mohd Yazid Sapiei, 43, yang gemar menjamu selera di warung itu, menzahirkan kesyukuran kerana masih terdapat peniaga yang menawarkan harga makanan semurah itu di bandar raya ini.

“Susah hendak jumpa tempat makan seperti ini di Johor Bahru, kalau tempat lain makanan tengah hari tidak campur minuman boleh cecah antara RM10 hingga RM15. Sini murah sangat, mana nak jumpa sebab nasi tambah pun percuma,” katanya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Pekerja swasta Azizah Mohamad, 36, pula berkata dia mengetahui mengenai warung itu melalui aplikasi TikTok sebelum datang mencuba sendiri.

“Lauk banyak pilihan dan makanan sentiasa ditambah, memang berbaloi dan sesuai untuk orang yang bekerja macam saya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan